Dapur komersial serunding dirasmikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – KS Food Industries secara rasmi telah membuka dapur produksi komersialnya di Jaya Setia Square, Jalan Komersial Jaya Setia dengan majlis perasmian yang berlangsung hari ini.

Perasmian dapur berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dengan menandatangani plak KS Food Industries sebelum memotong reben bersama Pengerusi KS Food Industries, Pengiran Irwan Ab Rahaman bin Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman dan rakan-rakan perniagaan, Ahmad Mamdoh dan George Lim.

Pengiran Irwan Ab Rahaman dalam ucapannya antara lain menjelaskan, pembukaan kemudahan dapur berkenaan adalah untuk menghasilkan Serunding Premium di bawah label produk Fennel & Dill.

“Resipi Fennel & Dill ini merupakan resipi keluarga turun temurun yang bermula sejak tahun 1970an sekali gus sebagai perniagaan kecil-kecilan yang hanya dibuat di rumah,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, pada 2018, KS Food Industries dibentuk sebagai usaha perniagaan antara keluarga berkenaan dan sekumpulan rakan perniagaan yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran dan pengedaran Serunding Premium Brunei dengan menggunakan 100 peratus daging Australia.

“KS Food Industries ini sudah pun mempunyai sijil Halal Brunei dan telah menjalani sijil ISO dan HACCP yang membolehkan kami melangkah lebih jauh selain untuk memenuhi permintaan tempatan tetapi juga ingin melihat peluang eksport antarabangsa bagi serunding daging premium dan produk lain yang kini dalam tahap R&D,” tambahnya.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato kemudian melihat lebih dekat lagi kemudahan dapur produksi KS dan diperkenalkan kepada gabungan hidangan menggunakan serunding Fennel & Dill oleh cef Hotel Brunei.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa upacara memotong reben bagi merasmikan dapur produksi KS Food Industries.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali melihat lebih dekat lagi kemudahan dalam dapur produksi KS Food Industries.