Dapur kotor, restoran makanan segera ditutup

LABUAN, 19 JULAI – Sebuah restoran makanan segera di pulau ini didenda malam tadi dan diarah tutup sementara setelah dapurnya didapati tidak bersih, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari hari ini.

Beliau berkata arahan penutupan itu dikeuarkannya selepas pemeriksaan mengejut dilakukan di beberapa buah kedai makan dan restoran makanan segera di sini. Langkah ini, katanya, untuk memastikan kualiti makanan dan kebersihan sentiasa dijaga.

“Kami telah memeriksa kedai makan kecil, bagaimanapun kita tidak seharusnya melupakan restoran besar,” katanya kepada Bernama.

Dr Ismuni berkata pemeriksaan akan diadakan dengan kerap bagi memastikan semua kedai makan mematuhi Akta Makanan 1983. – Bernama