Dapur maya tumbuh bagai cendawan di Asia

TAIPEI – Dalam sebuah unit perindustrian di pinggir bandar Taipei, cef-cef sedang membungkus makanan yang tidak akan dihidangkan dalam sebuah restoran: selamat datang ke dunia ‘dapur maya’.

Walaupun sebelum pandemik menjejaskan perniagaan restoran dunia, ‘proses Amazonifikasi’ dapur-dapur komersial telah bermula, namun sekatan koronavirus dan sekatan telah mencetuskan ledakan pertumbuhan di Asia.

Keadaan melambung baru-baru ini dalam aplikasi penghantaran makanan bermakna pelanggan telah pun biasa memakan makanan berkualiti restoran yang dihantar segera ke rumah mereka.

Untuk memenuhi permintaan tersebut, sejumlah besar restoran mendirikan dapur untuk hantaran sahaja – juga dikenali sebagai ‘dapur maya’ – atau menyewa ruang dapur.

Kemudian pandemik meletus, sekali gus mengakhiri hasrat makan di luar untuk berbilion penduduk.

Cef Park Chan-chul memasak satu hidangan sebelum dihantar kepada seorang pelanggan di 5Km Kitchen di Seoul. – AFP
Pekerja daripada JustKitchen bersedia untuk membakar roti untuk hidangan bawa pulang di salah satu lokasi di Taipei. – AFP
Seorang cef memotong piza di dapur maya DR Chef Fusion di Mumbai. – AFP
Seorang penghantar GrabFood mengambil pesanan bawa pulang dari dapur maya untuk restoran Thai di Bangkok. – AFP

“Ia mendorong seluruh industri dalam pertumbuhan pesat, maka ia benar-benar membantu kami,” beritahu Jason Chen, ketua pegawai eksekutif JustKitchen, kepada AFP.

JustKitchen memulakan operasi dapur maya pertama Taiwan pada awal tahun lalu – kini ia mengendalikan 17 di seluruh pulau, serta sebuah di Hong Kong dan berhasrat berkembang ke Filipina dan Singapura pada akhir tahun ini, kata beliau.

Syarikat penghantaran serantau seperti Grab di Singapura dan GoJek di Indonesia juga telah menyertai trend berkenaan. Grab membuka 20 dapur maya baharu di Asia Tenggara pada tahun lalu, meningkat daripada 42 sebelum pandemik.

Industri dapur maya global dijangka berkembang lebih daripada 12 peratus setiap tahun dengan nilai AS$139.37 bilion menjelang 2028, menurut satu laporan oleh Researchandmarkets.com.

Asia Pasifik, tempat tinggal kepada 4.3 bilion penduduk, telah pun menyumbang kepada kira-kira 60 peratus daripada pasaran antarabangsa.

Untuk kebanyakan penduduk di bandar yang padat di rantau, di mana ruang tinggal mencecah harga premium, memakan setiap hari dari restoran murah atau gerai makanan adalah lebih murah dan senang daripada memakan di rumah.

Kumpulan penyelidikan Euro-monitor menganggarkan terdapat kira-kira 7,500 dapur maya yang sedang beroperasi di China dan 3,500 di India – berbanding dengan 1,500 di Amerika Syarikat dan 750 di Britain.

Pemilik restoran generasi ketiga Thai Natalie Phanphensophon terpaksa mengubah empayar 45 restoran milik keluarganya menjadi restoran bawa pulang sepanjang tahun lalu disebabkan pandemik.

Keluarganya memiliki rangkaian Mango Tree dan Coca, kebanyakannya terletak di gedung membeli-belah yang kini lengang di mana sewa adalah tinggi.

Pada awal tahun ini, mereka membuka dapur maya pertama mereka di pinggir bandar Bangkok, dengan rancangan untuk membuka dua buah lagi.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan semua orang boleh mengharungi krisis ini bersama,” jelas wanita berusia 35 tahun itu.

Menurutnya, dapur maya adalah kurang menguntungkan berbanding restoran disebabkan orang tidak memesan banyak sajian berbanding apabila makan di luar. Namun kos operasi mereka adalah jauh lebih rendah.

iBerry Group, yang menguruskan restoran dan kedai aiskrim kebanyakannya di pusat membeli-belah di Thailand, juga mendirikan hab untuk penghantaran sahaja.

“Memiliki dapur maya pada asasnya merupakan topeng oksigen untuk kami semasa COVID-19,” kata pengurus jenama Thitanun Taveebhol.

Sementara konglomerat dan rangkaian telah beralih kepada operasi penghantaran sahaja, dapur maya keluarga juga telah dibuka.

Selepas bersara daripada jawatan di Air India baru-baru ini, Nirjash Roy Chowdhury, mengeluarkan wang simpanannya untuk mendirikan sebuah dapur maya di Mumbai.

Enam pekerjanya adalah dari perniagaan hotel yang telah terkesan teruk akibat pandemik.

“Mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Jika saya boleh memberikan seseorang punca pendapatan dengan menjalankan perniagaan ini, maka saya sanggup melakukannya,” tambah lelaki berusia 61 tahun itu.

Chowdhury meramalkan ia akan mengambil masa enam bulan untuk pulang modal namun yakin terdapatnya potensi jangka panjang.

“Saya fikir budaya dapur maya akan kekal,” ramalnya.

Pakar berkata ia merupakan satu pertaruhan yang selamat.

Nailul Huda, penganalisis di Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan di Jakarta, berkata kos operasi yang lebih rendah dan tabiat tempahan generasi lebih muda akan menjamin pertumbuhan berterusan.

“Orang akan terus memesan makanan walaupun selepas pandemik dan saya fikir dapur maya berpotensi untuk berkembang terus walaupun selepas pandemik berakhir,” ujarnya.

Chen dari JustKitchen berkata pandemik telah mengubah cara orang memesan makanan untuk dihantar ke depan pintu rumah mereka.

“Sekali anda melakukannya, anda sudah biasa dan kesenangan itu sukar untuk dibuang. Kami berasa amat positif mengenai prospek perniagaan.”

Pada masa apabila banyak industri katering jatuh muflis, dapur maya telah mengekalkan cef, pemandu hantaran serta pemborong.

Namun mereka tidak dapat mengelak menambah timbunan plastik yang telah pun dihasilkan.

Satu kajian terbaharu di Bangkok mendapati buangan plastik telah meningkat hampir dua kali ganda semasa pandemik, sesetengahnya disebabkan perkhidmatan penghantaran makanan.

Penulis makanan Leslie Tay berkata sementara dapur maya telah ‘merampas personaliti atau jenis makanan,’ terdapatnya ruang untuk mereka berkembang bersama restoran untuk pelanggan yang makan di sana.

“Pada akhirnya, saya fikir makanan itu sudah cukup jelas, sekiranya makanan anda adalah sedap, orang akan mula bercakap dan menyebarkannya.” – AFP