Dapur nasi beriani terkenal menjijikkan, diarah tutup 14 hari

GEORGE TOWN, 10 SEPT – Premis yang dijadikan dapur memasak nasi beriani buluh yang terkenal di Batu Uban di sini, diarahkan tutup selama 14 hari setelah didapati keadaan premis itu dikendalikan dalam keadaan menjijikkan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dijalankan setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Ketika pemeriksaan, didapati lantai dapur di premis itu basah, tiada penutup saliran air, persekitaran tidak bersih, bahan mentah yang busuk dan rosak malah, buluh yang digunakan untuk memasak nasi didapati berkulat serta penemuan lipas,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan enam serbuan dalam Op Sapu di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata satu pasukan risikan ditubuhkan untuk membuat pemantauan ke atas premis terbabit selama dua minggu dan didapati tahap kebersihan di premis itu tidak memuaskan dan tidak sesuai dijadikan tempat untuk memasak. – Bernama

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid memeriksa sebuah premis ketika menjalankan enam serbuan dalam Op Sapu. Premis yang dijadikan dapur memasak nasi beriani buluh yang terkenal di Batu Uban di sini, diarahkan tutup selama 14 hari setelah didapati keadaan premis itu dikendalikan dalam keadaan menjijikkan. – Bernama