KOTA KINABALU, 1 OKT – Dapur dan kipas ekzos siling sebuah restoran di pusat beli-belah di Karamunsing di sini terbakar hari ini, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Hamsa Isnurdini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10:31 pagi melalui talian MERS 999.
“Operasi pemadaman oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta BBP Lintas dilakukan menggunakan satu aliran 60 meter tiga pancutan sumber air daripada jentera fire rescue tander (FRT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 10:54 pagi dan operasi kemudian ditamatkan pada 11 pagi.
“Restoran itu hanya terbakar 20 peratus. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian manakala jumlah kerugian sedang disiasat,” katanya. – Bernama