Dapur umum bantu basmi kelaparan

SANTIAGO – Sekatan pandemik koronavirus berbulan-bulan dan krisis ekonomi telah memulihkan kesengsaraan yang dipercayai telah diatasi oleh penduduk Chile, iaitu kelaparan.

Maka jumlah dapur umum di kawasan Santiago telah meledak, dan restoran – ada di antara mereka pusat gourmet – telah mula memanaskan dapur mereka untuk menyiapkan sajian dalam perpaduan.

Di Lo Hermida, kawasan miskin di timur ibu negara, sembilan wanita telah menubuhkan satu kumpulan dikenali sebagai ‘Las Guerreras’ (Wira Wanita) untuk melancarkan dapur umum yang menghidangkan 175 sajian sehari kepada penduduk yang amat memerlukan di kawasan itu.

“Saya tidak pernah memikirkan ia amat diperlukan di sini,” beritahu Ruth Lagos kepada AFP, menambah beliau berasa terkejut dengan kekurangan yang dicetuskan oleh pandemik.

“Keluarga di kawasan setinggan yang telah keluar dari kemiskinan telah kehilangan pekerjaan dan kembali menjadi papa kedana di bawah sekatan yang dilaksanakan.

Ruth Lagos menyelia persediaan makanan tengah hari di dapur rumahnya di Santiago. – AFP
Cef Carolina Bazan menyediakan makanan untuk dipek di restoran Ambrosia di Santiago. – AFP
Pekerja di dapur umum ‘Las guerreras’ membantu menghidangkan makanan tengah hari yang disediakan oleh Ruth Lagos di Santiago. – AFP

Wanita-wanita berkenaan menganjurkan rangkaian bekalan ramuan dan seterusnya mendirikan sebuah dapur di halaman sebuah rumah.

Tanpa pengalaman memasak secara profesional, wanita berkenaan mendapat inspirasi dari sejarah kawasan berkenaan, apabila krisis ekonomi teruk melanda pada 1980 di tengah pemerintahan diktator Augusto Pinochet, komuniti mencari ketenangan dalam penubuhan dapur umum yang sama.

“Kami sedang berjuang untuk kehidupan yang lebih baik di Chile dan situasi bertambah buruk setiap hari,” kata Ruth, yang pada usia 48 tahun, masih ingat mengupas ubi kentang bersama ibunya semasa kecil untuk sebuah dapur umum tempatan.

Di bandar Penalolen, kira-kira 80 inisiatif seumpama ini telah dilancarkan. Menurut angka dari badan kebajikan tempatan, terdapat sekurang-kurangnya 400 dapur umum yang aktif di seluruh rantau metropolitan Santiago, tempat tinggal kepada tujuh juta penduduk.

Untuk kebanyakan keluarga, makanan yang diagihkan merupakan satu-satunya makanan dalam satu hari.

“Kami sedang bertahan disebabkan dapur umum,” akui Paola, seorang wanita yang baru sahaja menerima sepinggan ayam dengan mustard dan nasi. Tidak bekerja sejak lima bulan lalu, beliau masih belum menerima bantuan kerajaan.

Di tempat lain di ibu negara, restoran telah membuka semula dapur mereka selepas ditutup beberapa bulan untuk menyediakan makanan kepada penduduk paling miskin.

Ia juga membantu pembekal dan pemandu, terutamanya pengangkutan sekolah, yang telah ditutup sejak sekolah ditutup.

“Ia banyak membantu kami – dan ia juga membantu ramai orang lain di sepanjang rantaian,” kata cef Carolina Bazan, pemilik Ambrosia Bistro dan dinamakan cef terbaik dalam ranking 50 Restoran Terbaik di Latin Amerika.

Bazan, yang terpaksa menutup restorannya selama dua bulan sebelum dibuka semula untuk menyediakan penghantaran, memutuskan untuk menyertai inisiatif ‘Makanan untuk Semua’, yang membawa bersama 14 restoran dan mengagihkan 6,000 sajian seminggu.

Dengan dua pembantu, cef gourmet yang memenangi anugerah masakan itu menyediakan 450 sajian seminggu yang diagihkan kepada keluarga di tengah kawasan Santiago.

Untuk sekarang, beliau telah mengetepikan persediaan makanan yang rumit yang merupakan kebiasaannya dalam restoran tradisional Perancis beliau, untuk menumpu pada masakan yang lebih ringkas.

“Perkara paling penting adalah ia buatan sendiri, makanan enak yang mengenyangkan dan berkahsiat,” kata cef berusia 39 tahun, ibu kepada dua orang anak.

‘Makanan untuk Semua’ dibiayai oleh sumbangan yang membolehkan pembelian makanan, persediaan sajian dan bayaran restoran dan syarikat penghantaran.

“Apabila kami bermula pada minggu kedua Mei, terdapat tiga dapur umum. Dua minggu kemudian, terdapat 25 dan sebulan selepas itu, ia bertambah kepada 78. Kelaparan sedang meningkat di Chile,” kata Ana Rivero, salah seorang ahli yang berada di sebalik inisiatif tersebut.

Dan Chile ialah negara per kapita paling kaya di Latin Amerika.

Untuk memenuhi keperluan yang timbul di tempat lain, kini terdapat cawangan di bandar lain seperti Antofagasta di kawasan utara, dan Valpariso dan Vina del Mar. – AFP