‘Darah muda’ antara tertinggi terlibat kes kemalangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Pemandu lelaki berusia antara 18 hingga 38 tahun dan individu yang baru lulus ujian memandu dalam tempoh satu ke dua tahun antara golongan tertinggi yang terlibat dalam kes-kes kemalangan jalan raya sama ada membabitkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan.

Penemuan itu didedahkan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar semasa Sidang Media Majlis Kebang-saan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pemangku Pengarah di Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Supt Kanan, Haji Mohammad Azraie bin Haji Talip.

Haji Mohd Salihin menyatakan hasil penelitian ke atas statistik kemalangan bagi tahun 2021 dan suku pertama 2022 itu juga, mereka mendapati beberapa penemuan punca kes yang melibatkan kehilangan nyawa adalah disebabkan oleh kegagalan pemandu mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu merah, gagal menggunakan tali pinggang keledar dan tidak mematuhi arahan lalu lintas jalan raya.

Terdahulu, Haji Mohd Salihin turut mengongsikan mengenai statistik kemalangan jalan raya bagi 2021, dengan jumlah kes kemalangan sebanyak 2,812 yang mana 343 adalah kes yang melibatkan kecederaan ringan dan parah manakala 16 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa.

 

Haji Mohammad Azraie dan Haji Mohd Salihin semasa sidang media MKKJR yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

“Bagi tahun 2022 setakat bulan April, jumlah kes kemalangan sebanyak 315 yang mana tujuh daripadanya adalah yang mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, sebagai usaha berterusan MKKJR meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan terutama yang melibatkan kematian dan kecederaan, pihaknya akan bekerjasama agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan-persatuan itu akan terus mengadakan program dan inisiatif bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Antara program dan inisiatif tersebut yang telah dirancang tahun ini ialah meneruskan taklimat Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan perkongsian perangkaan kemalangan dan memfokuskan kepada etika pemanduan, pemberigaan secara berterusan mengenai budaya keselamatan jalan melalui media massa seperti televisyen dan radio, media sosial, kaunter kerajaan dan laman sesawang dan juga melalui khutbah Jumaat.

“Pada masa yang sama, MKKJR melalui agensi-agensi yang berkaitan juga telah dan akan terus melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan ke atas infrastruktur-infrastruktur jalan raya khususnya kawasan-kawasan yang sering berlakunya kemalangan jalan raya atau hot spot,” katanya.

Antara usaha penambahbaikan itu adalah dengan pemasangan Variable Message Sign (VMS) oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, pemasangan rumble strip, tanda-tanda had laju dan tanda memperlahankan kelajuan juga telah di pasang di beberapa lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Manakala inisiatif-inisiatif lain pula ialah dengan kerjasama PPDB, JKR dan Jabatan Hal Ehwal Masjid iaitu mengadakan pemeriksaan ke beberapa buah masjid di Daerah Brunei dan Muara bagi mengenal pasti kemudahan-kemudahan dan tahap keselamatan bagi pengguna jalan raya di kawasan persekitaran masjid-masjid berkenaan.

Menurut Haji Mohd Salihin lagi, hasil lawatan telah mencadangkan beberapa tindakan penambahbaikan seperti menambah dan menyediakan lorong bagi pejalan kaki, menukar Centre Red Median kepada Road Red Median dan memasang rumble strip di hadapan jalan masjid berkenaan, dan akan diteruskan ke masjid-masjid lain.

Selain itu, menurut beliau, mereka juga akan menaik taraf sistem Road Accident Data Enhancement and Development (RADED) dengan memasukkan fungsi data analitis bagi memudahkan penganalisisan dan mendapatkan maklumat dengan tepat dan teratur bagi merancang perlaksanaan dasar dan tindakan yang bersesuaian.

Pada sidang media itu, Supt Kanan Haji Mohammad Azraie turut mengongsikan mengenai statistik kesalahan lalu lintas jalan raya yang mana bagi tahun 2021 sebanyak 18,495 kesalahan lalu lintas jalan raya telah direkodkan hasil daripada 2,533 operasi penguatkuasaan yang telah dijalankan.

“Manakala sehingga April tahun 2022, sebanyak 3,545 kesalahan lalu lintas jalan raya telah direkodkan hasil daripada 486 operasi penguatkuasaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, lima daripada 10 kesalahan utama yang direkodkan pada 2021 sehingga suku pertama 2022 adalah memasang tabir atau sunshade gelap, mengubahsuai kenderaan daripada yang asal, tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu, lesen memandu mansuh dan meletak kereta di tempat yang bukan dikhaskan.