BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Darussalam Enterprise (DARe) mengalu-alukan para pengendali untuk menguruskan kemudahan berkonsepkan kontena bagi kedai-kedai makanan dan minuman serta runcit di Taman Teknologi Anggerek Desa.
Dalam kenyataannya, hari ini, DARe menjelaskan bahawa ruang berkenaan yang terletak bersebelahan Bangunan iCentre, akan merangkumi tiga kontena berukuran 20×8 kaki bagi vendor-vendor makanan dan empat lagi unit 10×8 kaki bagi perusahaan runcit lain.
Unit-unit kontena berkenaan akan dijarakkan dalam bentuk U segi empat tempat, menyediakan ruang patio tengah bagi usahawan-usahawan baru dan pelanggan untuk makan dan berinteraksi.
DARe menekankan, para pengendali yang membuat permohonan dijangkakan untuk menjemput usahawan-usahawan baru tempatan dan mengekalkan kualiti dan kebersihan kemudahan berkenaan serta menganjurkan aktiviti-aktiviti rangkaian dan promosi.

Kemudahan baru berkenaan dihasratkan untuk mewujudkan peluang-peluang bagi perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, yang berdaftar di bawah ROCBN dan telah beroperasi kurang daripada setahun.
Para PMKS akan dapat menguji dan mengesahkan produk-produk mereka dalam suasana pasaran sebenar di kemudahan berkenaan pada kadar sewa yang mampu milik sebagai landas permulaan untuk mendapatkan pengalaman bagi pengembangan masa depan.
Operasi kemudahan baru berkenaan akan bermula bagi bulan Ramadan.
Sehubungan itu, para pengendali yang berminat boleh menghantar cadangan menerusi e-mel ke alamat dare@ei.gov.bn atau hantar terus ke Pusat Sokongan Perniagaan di Tingkat 1 Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi di Anggerek Desa dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 8 Mei 2017.