Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    DARe bantu PMKS berkembang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merangkumi 97.2 peratus jumlah keseluruhan perniagaan di Negara Brunei Darussalam pada 2020 dengan jumlah pekerja yang bekerja dengan PMKS ialah sebanyak 30.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja di Brunei.

    Sebilangan besar PMKS tempatan adalah dalam sektor perkhidmatan iaitu 75.7 peratus dengan perdagangan runcit dan borong merupakan aktiviti ekonomi terbesar, diikuti oleh sektor industri sebanyak 21.3 peratus dan sektor primer sebanyak 3.1 peratus.

    Pada 2020, sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan sebanyak 31.2 peratus di mana dengan sumbangan yang signifikan itu, kita tidak boleh hilang pandang kepada kepentingan PMKS dalam pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan perniagaan berkenaan untuk berkembang serta meneroka dan memasuki pasaran dan aktiviti perniagaan baharu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ulasan khas di acara Enterprise Growth Connect yang berlangsung di Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah melaksanakan Pelan Tindakan Ekonomi bagi Brunei Darussalam yang merupakan strategi kebangsaan yang akan menyokong perjalanan ke arah menjadi sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik.

    Seperti yang tertera dalam pelan tindakan berkenaan, lima sektor keutamaan telah disasarkan bagi pertumbuhan iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta perkhidmatan.

    Dalam usaha untuk membantu lagi pembangunan dan pertumbuhan sektor-sektor keutamaan berkenaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain dan pihak-pihak berkepentingan yang relevan dalam merangka peta jalan industri dan setakat ini telah membangunkan Peta Jalan Industri Makanan, Peta Jalan Industri Hiliran Minyak dan Gas serta Peta Jalan Industri Perkhidmatan, Logistik dan Perdagangan Maritim.

    Pelan tindakan ekonomi dan peta jalan industri berkenaan telah mengenal pasti keperluan penting dalam membangunkan perniagaan yang maju, produktif dan berdaya tahan yang mampu untuk memanfaatkan peluang-peluang ekonomi serta menyumbang kepada sekuriti dan aspirasi ekonomi negara.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyatakan lagi bahawa menerusi pendekatan senegara dan usaha kolektif daripada kesemua pihak yang berkepentingan, menjadi harapan kerajaan untuk menjana hal tuju baharu bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih bermakna dan bergerak daripada bergantung berat kepada ekonomi minyak dan gas.

    DARe, ulasnya, sebagai agensi tumpuan Brunei bagi pembangunan PMKS, mempunyai peranan penting untuk dimainkan dengan memastikan bahawa PMKS dilengkapi dengan keupayaan, pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan supaya membolehkan mereka berkembang dan menjadi lebih kompetitif.

    DARe terus menyediakan pelbagai program dan inisiatif seperti iUsahawan dan DARe Links termasuk Program Elevate yang menjadi sebuah platform untuk memudahkan dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan PMKS tempatan.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin antara yang menghadiri acara berkenaan.
    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin ketika menyampaikan ulasan khas, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...