Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) melalui Darussalam Enterprise (DARe), agensi pembangunan keusahawanan terkemuka di Brunei, bersama tiga buah syarikat startup telah menghadiri Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura (SWITCH) 2023 di Singapura.
Dalam menyokong objektifnya untuk membina perusahaan yang dinamik dan pemacu pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, DARe mengiringi tiga syarikat berkenaan daripada ekosistemnya ke SWITCH SG bagi pendedahan buat pertama kalinya.
Syarikat-syarikat terpilih adalah HYM Hydraulic Co iaitu daripada Micro Bootcamp dan telah mencipta Ruby Pump V1.0 yang mampan dan pam hijau yang tidak memerlukan elektrik, bahan api dan solar.
Manakala Nextacloud Sdn Bhd pula daripada alumni iCentre iaitu sebuah agensi pembangunan teknologi yang ingin mengembangkan lagi aplikasi Bloodkad ke pasaran lain.
Mindplus Education Sdn Bhd pula adalah sebuah pasukan yang dibangunkan berdasarkan minat bersama untuk platform edutech yang mana Mindplus membina platform dan program pembelajaran digital untuk membolehkan pengalaman pembelajaran yang diperhalusi dan memberikan hasil yang bermakna untuk pelajar, sekolah dan ibu bapa.
SWITCH SG 2023, festival teknologi terulung di Asia, berfungsi sebagai platform dinamik yang menghubungkan ekosistem inovasi global-Asia melalui kepimpinan pemikiran, rangkaian, acara pameran dan pertandingan pitching startup.
Selain itu, ia juga menawarkan peluang unik untuk startup, pelabur, korporat, institusi penyelidikan dan inovator untuk melibatkan diri dan bekerjasama.
Penglibatan DARe dalam SWITCH SG 2023 menggariskan komitmen untuk menyokong dan memupuk bakat keusahawanan Brunei dan meningkatkan ekosistemnya ke peringkat global.
