Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    DARe lancar Program Elevate kumpulan ke-2

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Darussalam Enterprise (DARe) melancarkan kumpulan kedua Program Elevate dengan matlamat untuk membantu 10 pesertanya membangunkan perniagaan mereka dengan merangka sebuah peta jalan strategik lima tahun melalui sokongan dan pemantauan khusus.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, hari ini, Program Elevate berada dalam inisiatif ekosistem DARe yang membantu membangunkan perniagaan di pelbagai peringkat kitaran kehidupan mereka dan dirangka khusus untuk perniagaan-perniagaan yang bergerak dari peringkat awal perjalanan mereka dan telah mencatatkan pendapatan tahunan dalam enam angka.

    Kenyataan menyatakan lanjut bahawa pada majlis pelancaran maya yang diadakan pada 9 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad berkata bahawa rangka kerja Program Elevate telah dirangka bersama pakar-pakar pembangunan perniagaan antarabangsa untuk memastikan para peserta mempunyai peralatan untuk berjaya bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

    “Pandemik COVID memberikan cabaran-cabaran baharu kepada perniagaan yang ingin terus bertahan tetapi ia juga menyediakan peluang untuk mengimbas serta mengalihkan strategi perniagaan sedia ada untuk menyesuaikan kepada norma baharu.”

    Beliau percaya bahawa Elevate adalah amat relevan dan berharap ia akan memberikan rangsangan kepada perniagaan dan membimbing mereka untuk menambah lebih nilai serta inovasi kepada produk dan perkhidmatan mereka di mana ia akan membuka dunia baharu yang mempunyai lebih banyak peluang menarik.

    Javed Ahmad bersama peserta-peserta Program Elevate semasa majlis pelancaran yang diadakan secara maya. – Gambar serahan DARe

    Kumpulan pertama Program Elevate dari 2020 menumpukan kepada perniagaan yang beroperasi dalam industri makanan dan minuman, kenyataan menjelaskan bahawa kumpulan kedua pula merangkumi perniagaan daripada pelbagai sektor yang berpotensi untuk berkembang ke luar negara dan berkeupayaan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

    Ia meliputi perniagaan dalam pembuatan, fesyen, perkhidmatan profesional serta makanan dan minuman.

    Program Elevate lima tahun itu bermula dengan penelitian komprehensif bidang-bidang utama operasi perniagaan berkenaan di mana penelitian itu akan dikendalikan bagi tempoh enam bulan dan selepas itu, perniagaan itu akan dapat membangunkan peta jalan strategik lima tahun yang efektif bagi perkembangannya dengan DARe memberikan bantuan khusus untuk membantu perniagaan berkenaan menyelesaikan isu-isu mereka serta bertindak kepada peluang-peluang yang muncul di perjalanan mereka. Dalam melaksanakan peta jalan strategik mereka, perniagaan-perniagaan berkenaan akan mempunyai check-ins dua kali setahun dengan DARe dan akan diberikan pengurus hubungan perniagaan yang khusus, untuk dapat mereka temui mengenai pelbagai aspek perniagaan mereka. Dalam program lima tahun itu, Elevate juga akan membantu para peserta untuk mengembangkan akses dan membangunkan keupayaan mereka dalam pemasaran, pembiayaan, pengantarabangsaan, teknologi serta inovasi.

    Di samping itu, mereka juga akan mendapat akses kepada inisiatif-inisiatif DARe yang lain termasuk grant, ruang perindustrian dan latihan khusus.

    Para peserta kumpulan kedua program berharap program itu akan membantu mereka menjadi lebih mantap serta dapat mudah menyesuaikan diri kepada landskap ekonomi yang kerap berubah. Bagi Tasanne Fast Food dan Moistjito yang kedua-duanya merupakan graduan program inkubasi F&B DARe, penyertaan mereka ke dalam Elevate menandakan perkembangan meningkat mereka dalam ekosistem DARe.

    Pengasas Bersama Moistjito, Sheikh Muhd Aiman bin Haji Sheikh Mohd berkata bahawa pengalaman mereka di Kontena Park benar-benar membantu mengukuhkan lagi keyakinan mereka bahawa mereka mampu menjadi perniagaan sepenuh masa yang untung dalam sebuah ruang komersial.

    Pendapatan tahunan Moistjito telah meningkat lebih 10 kali ganda setelah berada kira-kira setahun di Kontena Park dengan perniagaan yang diterajui belia itu, kini menjual makanan gabungan Mexico dan mocktails di Mulaut.

    Sheikh Muhd Aiman berkata lagi, dengan Elevate mereka menaruh harapan untuk dapat menerima bimbingan daripada DARe dalam menjana sebuah pelan mampan bagi masa depan jangka panjang mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...