BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Darussalam Enterprise (DARe) melancarkan kitaran kelapan Accelerate dengan program baharu, StartupX untuk membantu perniagaan peringkat awal berkembang yang diadakan secara maya hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DARe di sini, program tersebut merupakan satu daripada dua bootcamp perniagaan yang mereka jalankan, selama 100 hari yang bertujuan untuk membantu perniagaan peringkat awal berkembang dengan memanfaatkan teknologi, pelaburan dan membina model perniagaan yang inovatif.
Pada tahun ini, sebanyak 21 perniagaan telah di senarai pendek untuk menjadi sebahagian daripada program di mana lapan perniagaan adalah dari industri ICT; lima adalah dari industri pembuatan; lima menyediakan perkhidmatan, manakala lima lagi adalah dari industri makanan dan minuman.
Sebelum ini dijalankan secara fizikal, program ini kini akan berjalan secara maya di mana para peserta akan menjalani bengkel 15 minggu dan perundingan mengenal pasti peluang pasaran; membina pasukan dan menetapkan sasaran sebelum mendalami pemasaran; membangunkan produk berdaya maju minimum; memetakan unjuran kewangan dan pitching.
Semasa pelancaran, Pegawai Eksekutif, Awang Muhammad Saiful Azzam Haji Sarpudin mengongsikan pada bootcamp pertama, ia bermula dengan membantu beberapa syarikat permulaan untuk berkembang pesat.
“Dari situ, kami melihat potensi syarikat pemula tempatan kami sendiri yang mula berkembang dan memenuhi lebih banyak industri,” kata Muhammad Saiful Azzam.
Perunding Utama dan Ketua Pegawai Operasi di StartupX, Awang Raymond Doraisamy, menambah bahawa, “Kami amat berbesar hati dengan peluang untuk bekerjasama rapat dengan DARe bagi mengembangkan ekosistem permulaan peringkat awal di Brunei. Kami berhasrat untuk memacu semangat dan budaya inovasi dan perusahaan di kalangan rakyat Brunei melalui platform Accelerate dan seterusnya, membawa pengalaman sedekad kami bekerja dengan syarikat permulaan global kepada ekosistem Brunei.
“Kami berharap dapat merapatkan bersama ekosistem Singapura dan Brunei untuk mewujudkan peluang kerjasama yang lebih besar dan akses pasaran untuk kedua-dua pihak,” katanya.