Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    DARe, Shell LiveWIRE Brunei lancar AMEN

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Darussalam Enterprise (DARe) dengan kerjasama Shell LiveWIRE Brunei telah melancarkan program ASEAN Mentorship for Entrepreneurs Network (AMEN), hari ini.

    Turut hadir pada pelancaran berkenaan ialah Pengurus Program Shell LiveWIRE Brunei, Awang Qawiem Yacob dan Perunding Kebangsaan, Program AMEN Brunei, Dr Sophiana Chua.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, fasa kedua program AMEN untuk Brunei telah dilancarkan oleh Brunei Mentors for Entrepreneurs Network (BMEN) dengan kerjasama Shell LiveWIRE Brunei pada 13 Januari lalu di iCentre, Anggerek Desa.

    Program AMEN adalah inisiatif utama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), Filipina yang dilancarkan semasa Filipina menjadi Pengerusi ASEAN pada 2017.

    Ia bertujuan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh ASEAN untuk menjalankan operasi secara mampan, menyediakan pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi.

    Lela Suhailee semasa menyampaikan ucapannya semasa pelancaran program AMEN, kelmarin. – Gambar serahan DARe

    Dalam fasa pertama pelaksanaannya pada 2019, program bimbingan perniagaan 10 modul telah dilancarkan dengan jayanya di Malaysia, Indonesia dan Filipina. Ia kini dilaksanakan di seluruh negara anggota yang ada termasuk Brunei.

    Ketua Pembangunan Perniagaan dan Sokongan DARe, Dayang Lela Suhailee dalam ucapan alu-aluannya kepada para peserta berkongsi bahawa nilai unik program AMEN sepenuhnya diterajui oleh mentor.

    Setiap satu daripada 10 modul pembelajaran telah dibangunkan dan disampaikan oleh usahawan, profesional dan ahli akademik di Brunei yang telah menimba pelbagai pengalaman berharga bertahun-tahun menjalankan perniagaan atau menguruskan aspek yang berbeza daripadanya.

    Menurut kenyataan, Program AMEN bagi Brunei akan berlangsung antara Januari hingga Mei depan.

    Sebagai tambahan kepada 10 modul pembelajaran, peserta juga akan menjalani sesi bimbingan secara perseorangan untuk membangunkan pelan peningkatan perniagaan, sebelum mengemukakan kepada panel yang akan menyediakan mereka dengan maklum balas, nasihat dan akses kepada sumber yang boleh menyokong dan meningkatkan perniagaan mereka.

    Program berkenaan akan diakhiri dengan majlis graduasi bagi 30 peserta.

    BMEN yang dilancarkan pada Mac 2019 telah dilaksanakan oleh DARe dengan kerjasama rapat ASEAN BAC Brunei dan berada di bawah pementoran ASEAN yang lebih luas untuk AMEN.

    Ia merupakan platform bimbingan percuma untuk PMKS dan boleh diakses melalui kedua-dua platform padanan dalam talian dan pelbagai acara bimbingan secara peribadi.

    Mentor tempatan yang menjadi sebahagian BMEN menawarkan pelbagai kepakaran berkaitan perniagaan termasuk inovasi, pemasaran, kewangan, strategi, pengauditan, pengurusan projek dan sumber manusia.

    Sejak penubuhannya ia telah merekodkan lebih 1,000 penglibatan mentor dan kini mempunyai 83 mentor dan 228 menti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...