DARe terima anugerah atas pencapaian cemerlang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Darussalam Enterprise (DARe) diberikan penghormatan apabila dianugerahkan Anugerah Projek Pencapaian Kejuruteraan Cemerlang ASEAN bagi Projek Jambatan Pulau Muara Besar (PMB) semasa Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN ke-39 (CAFEO 39) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pada 3 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, CAFEO 39 dihoskan oleh Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei Darussalam, di mana anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden PUJA Brunei dan Pengerusi CAFEO 39, Ir Haji Muhd Zin bin Salleh dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad.

Anugerah itu mengetengahkan bahawa Projek Jambatan PMB telah diiktiraf sebagai salah satu pencapaian kejuruteraan cemerlang di ASEAN di mana ia mempamerkan kemahiran kejuruteraan cemerlang yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada perkembangan kejuruteraan serta kualiti kehidupan di dalam rantau ASEAN.

Pelbagai teknologi inovatif telah digabungkan dalam rekaan dan pembinaan jambatan berkenaan, jelas kenyataan itu.

Projek jambatan sepanjang 2.68 kilometer itu membawa perkhidmatan utiliti dari daratan ke pulau berkenaan termasuk tenaga, air dan telekomunikasi, telah siap dibina pada Mei 2018 dan diiktiraf dengan Singapore Construction Authority Certification-Green Building Mark.

Ia merupakan jambatan jalan raya berkembar yang menghubungkan PMB ke daratan di Kampung Serasa, dengan objektif untuk memudahkan pembangunan industri berkaitan petrokimia di pulau berkenaan yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan sosial setempat.

Javed Ahmad dan Pengurus Kanan DARe, Ong Wee Soon bergambar bersama Anugerah Projek Pencapaian Kejuruteraan Cemerlang ASEAN bagi Pulau Muara Besar yang disampaikan semasa CAFEO 39 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – Gambar serahan DARe