Darell ulangi sokongan Malaysia terhadap BRI di Davos

KUALA LUMPUR, 26 JAN – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking telah mengulangi komitmen kukuh Malaysia terhadap Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 di Davos, Switzerland.

Bercakap pada Forum Jalur dan Laluan Keempat Davos, beliau turut menekankan kepentingan BRI dalam usaha mempertingkat kerjasama dan kesejahteraan semua negara terbabit, khususnya di rantau berkenaan, demikian menurut kenyataan kementerian itu kelmarin.

Darell mewakili Malaysia pada acara WEF selama empat hari bermula 21 Januari lepas dan turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Rantau Asia

Pasifik dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif WEF, Justin Wood.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan peluang serta kerjasama yang boleh ditawarkan WEF kepada Malaysia, termasuk sokongan ke atas peranan Kuala Lumpur selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Selain itu pada forum tersebut, Darell turut menemui dan membincangkan isu perdagangan dua hala dan pelaburan dengan rakan sejawat beliau dari Switzerland, Turki serta Palestin. – Bernama