Dari bas lama jadi penginapan baharu

KUALA LUMPUR – Bagi mereka yang pernah menaiki bas Greyhound, tentunya masih boleh mengimbau pengalaman melalui tempoh perjalanan yang agak lama, tidak selesa dan berada dalam keadaan bersesak-sesak, ditambah pula apabila tempat duduk poliuretananya sudah pecah-pecah.

Jauh sekalilah kalau ada yang terfikir untuk bermalam atau tidur dalam bas lama yang keadaannya sebegitu.

Namun lain ceritanya bagi sekumpulan pelajar dan pensyarah yang bersemangat kental dari Universiti Malaya kerana sanggup bertungkus-lumus mengubahsuai bas lama kampus itu yang berusia 66 tahun menjadi sebuah rumah kecil yang sangat canggih dan luas atau ‘tiny gorgeous’.

Dengan terhasilnya ruang baharu ini, anda boleh menikmati pengalaman menginap dalam bas kampus yang telah diubahsuai menjadi rumah kecil!

Inisiatif oleh Sekretariat Makmal Kelestarian dan Kehidupan universiti – Air Warriors dan Projek Rimba, yang menguar-uarkan mengenai rumah bas lama ini di Internet sejak dua bulan lepas, menyebabkan  ramai yang terpaut hati oleh keunikannya.

Bas lama yang direnovasi tersebut diletakkan betul-betul di luar kawasan Rumah No.2 universiti itu, yang terletak di Lorong 16 /10b Seksyen 16 Petaling Jaya. – Agensi
Rumah kecil ini mempunyai ruang tamu yang lengkap dengan perabot dan dapur kecil, lantai vinil yang menyerupai kayu keras. – Agensi
Kerja-kerja pengubahsuaian dan membaik pulih bas sejak tahun lepas yang memerlukan masa enam bulan untuk disiapkan.
Bilik tidur untuk dua orang yang dipisahkan untuk privasi dan ruang tamu. – Agensi

Pengurus Projek Water Warriors Universiti Malaya, Siti Norasiah Abdul Kadir berkata, idea untuk mengubahsuai bas itu menjadi tempat penginapan lahirnya daripada bekas Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) universiti itu, Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

“Universiti pada mulanya ingin saja buang bas lama itu pada tahun 2016 yang terdampar di kampus sejak tahun 2013, tetapi Prof Faisal tampil dengan idea untuk mengubahnya menjadi sesuatu yang berguna, jadi dia mengusulkan idea itu dan bekerjasama dengan sekretariat (Air Warriors dan Projek Rimba) sejak tahun lepas,” katanya kepada media baru-baru ini.

Jangan perlekeh

Diletakkan betul-betul di luar kawasan Rumah No.2 universiti itu, yang terletak di Lorong 16 /10b Seksyen 16 Petaling Jaya, bas itu sendiri tidak kelihatan sepertinya dari luar.

Tetapi apabila anda melangkah kaki masuk ke dalam, semua perasaan gerun yang dirasai mengenai keadaan dalam bas itu terus lenyap begitu saja, kerana reka bentuk dalamannya tidak ubah seperti di rumah studio, yang memberi gambaran seolah-olah berada dalam sebuah kediaman.

Rumah kecil ini mempunyai ruang tamu yang lengkap de-ngan perabot dan dapur kecil, lantai vinil yang menyerupai kayu keras, dan sebuah bilik tidur untuk dua orang yang sebenarnya telah dipisahkan untuk privasi dan ruang tamu.

Bagaimanapun, bas vintaj ini bukanlah satu-satunya tarikan di Rumah No.2, kerana ia juga rumah yang siap dilengkapi dengan taman yang menghijau yang mengeluarkan hasil dan sepasang arnab dan ayam peliharaan, yang akan memberi pengalaman hidup bertani kepada tetamunya.

Oleh kerana ruang yang terhad, tidak ada tandas di dalam bas tetapi para tetamu dibenarkan  menggunakan tandas dan bilik mandi di dalam Rumah No.2.

Menurut Siti Norasiah, taman dan ruang hijau di rumah itu juga digunakan untuk menanam pokok buah dan sayur, dan projek kitar semula.

Bas kampus yang diperbaharui itu bukan sahaja membolehkan alumni mengimbau semula alam persekolahan mereka dengan tinggal di sana, tetapi juga sebagai sebahagian daripada kesedaran untuk melindungi alam sekitar.

Beliau berkata, selain projek kitar semula, mereka juga mengumpulkan sisa makanan dari kolej komuniti dan kediaman untuk menghasilkan baja untuk tanaman mereka.

Pengurus Projek Rimba, Siti Syuhada Sapno berkata, sekretariat juga bekerjasama dengan pelajar dalam mata pelajaran kokurikulum, Kesukarelawanan untuk membantu menguruskan Rumah No. 2.

Selain itu, kami menjalankan gotong-royong, berkebun dan mengumpulkan sisa makanan dan mengitar semula barang bersama dengan pelajar suka-relawan itu.

“Kami juga bekerja bersama-sama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) – Trash4cash untuk mempromosikan kepada komuniti mengenai projek kitar semula ini. Kami juga mengutip sisa nasi setiap hari untuk dijadikan makanan ayam di sana,” katanya.

Enam bulan untuk siap

Sekretariat mula bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Estet (JPPHB) universiti untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan membaik pulih bas sejak tahun lepas yang memerlukan masa enam bulan untuk disiapkan.

Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan pada bulan Mac dan pada mulanya kami ingin melancarkannya pada bulan April, tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terpaksa menangguhkannya hingga bulan Julai.

Sejak dilancarkan pada bulan Julai, kami mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai, terutamanya alumni yang ingin mengalami sendiri dan mengimbau kembali kehidupan kampus mereka di Rumah No 2, kata Siti Norasiah.

Beliau menjelaskan bahawa sekretariat kini diberi kepercayaan menjaga aset untuk menjana pendapatan dan menyokong usaha kelestariannya di universiti dan untuk masyarakat luar.

“Kami mengiklankannya di Airbnb dan hasil bayaran penginapan kami gunakan untuk membiayai projek kesedaran persekitaran kami.

Saya rasa universiti masih mempunyai nilai sentimental bagi bas berkenaan dan merasakan idea seperti ini dapat memperlihatkan usaha kelestarian universiti dan kreativiti kakitangan dalaman Universiti Malaya,” katanya.

Bas yang bertukar menjadi rumah vintaj ini kini boleh disewa melalui Airbnb dengan harga yang berpatutan.

Siti Syuhada berkata, di samping bas, dua bilik tamu di Rumah No.2 juga boleh disewa melalui Airbnb. – Bernama