Dari Estet ke England, kini usahawan berjaya

BAHAGIAN I

KUALA LUMPUR – Walaupun puluhan tahun meninggalkan tanah air, namun Malaysia tetap negara tercinta dalam hati Robert K Chelliah, 82, seorang usahawan dan pakar pemakanan tumbuhan perubatan.

Nostalgia ini saban tahun meruntun hatinya menjelang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Kesempitan hidup ketika membesar di estet di Perak (Teluk Intan dan Sungai Siput) serta tekad mahu membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan membuatkan anak bongsu daripada tiga beradik ini membawa diri ke England ketika berusia dalam lingkungan 17 tahun.

Ayah Robert meninggal dunia ketika dia berumur enam tahun dan ibunya terpaksa membanting tulang bekerja di kilang getah Kamunting Estate di Sungai Siput, Perak untuk menyara kehidupan mereka.

Robert meninggalkan tanah air kira-kira setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris. Beliau tahu perjalanannya pasti penuh ranjau dan duri, dan meskipun hatinya berat untuk meninggalkan ibu dan dua adik beradiknya, namun beliau kuatkan semangat untuk merantau dalam usia yang muda itu.

Robert K Chelliah berbual bersama para pekerja ladang Lexmin Lty Ltd. – Bernama
Seorang pekerja yang sedang bekerja di ladang organik Lexmin. – Bernama

Kata-kata perangsang daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melalui sepucuk surat sebagai balasan kepada surat yang dihantar kepada bakal Perdana Menteri pertama itu, menyatakan rancangannya untuk mengembara ke England, membakar semangat untuk meneruskan misinya.

“Saya hanya ada 100 dolar Malaya (mata wang yang digunakan ketika itu) dan beg galas serta membawa pasport bersaiz kertas A3. Dengan kawan saya Wong Yew Fah, kami meninggalkan negara sebelum dapat keputusan peperiksaan Senior Cambridge lagi.

“Ketika itu fokus saya hanya mahu mencari kehidupan baharu untuk diri saya, keluarga dan memberi sumbangan untuk negara ini,“ kata Robert yang menetap di Phnom Penh, kepada Bernama melalui temu bual telefon. Beliau sudah tentunya belum pernah ke luar negara dan apa sahaja nama tempat di luar negara yang beliau tahu hanyalah melalui pembacaan buku komik yang dikutip daripada tong sampah.

Tidur bawah jambatan

Tempat pertama menjadi persinggahan beliau dan Wong ialah Singapura. Mereka menumpang apa sahaja kenderaan yang sudi berhenti memberi tumpang untuk ke Singapura.

Menyara hidup bekerja sebagai buruh dengan upah lima dolar sehari dan tidur di bawah jambatan. Begitulah kehidupan remaja ini selama dua bulan sementara menunggu kelulusan untuk bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan, Blue Fennel Line yang berpangkalan di London.

Rancangannya adalah untuk mengikut kapal syarikat berkenaan sehingga ke Calcutta dan kemudian mengembara melalui jalan darat ke England. Pengembaraan dari Calcutta ke Delhi (India), kemudian ke Lahore (Pakistan), merentas Padang Pasir Baluchistan untuk ke Quetta, ke Zahedan (Iran) dan Istanbul (Turki). Pengembaraan berikutnya dari Turki ke Greece, ke Skopje (Yugoslavia), merentas Austria, Jerman dan Belgium, sebelum tiba di Stesen Victoria, London.

Sewaktu kapal yang dinaikinya berlabuh di Calcutta, Robert berkenalan dengan seorang pelancong yang kemudiannya menulis tentang pengembaraannya yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar di London.

Justeru apabila beliau menjejakkan kaki di London, England, kisah pengembaraannya sudah menjadi buah mulut ramai sehinggakan hos televisyen terkemuka BBC TV, David Frost turut menemu bual beliau sebagai remaja Asia pertama melakukan pengembaraan sedemikian.

Masih segar dalam ingatan Robert soalan pertama yang dajukan Frost kepadanya, “Apa matlamat anda datang ke England?” Tanpa lengah, Robert menjawab “Untuk belajar.”

Sejurus selepas temu bual itu, beliau menerima banyak tawaran belajar daripada sekolah awam dan juga Universiti Oxford. Beliau belajar selama setahun di Lancing College sebelum memasuki Universiti Oxford dan mengambil bidang pengajian Public Administration dan Social Service Professions.

Pada tahun 1963, Robert ke Singapura untuk pengajian lepasan ijazah dengan gran pengajian Yayasan Lee. Selepas tamat pengajian, Robert mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita India (rakyat Malaysia) dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan.

Perjalanan hidup Robert turut membawa beliau kemudiannya berhijrah ke Perth, Australia bersama keluarganya dan ibunya turut dibawa tinggal bersama mereka. Beliau bekerja sebagai ejen penggajian dan migrasi berdaftar.

Isteri Robert meninggal dunia pada tahun 2011 dan pada tahun 2018, beliau membuat keputusan untuk menghabiskan sisa-sisa usianya di Kampuchea.

Bermula lembaran baharu

Meskipun sudah berusia lebih 80 tahun, namun Robert tidak betah duduk diam menikmati kehidupan sebagai seorang pesara.

Apabila melihat sebatang pokok Moringa di belakang rumahnya dan dengan pengalaman tinggal di estet, Robert tahu pokok itu mempunyai banyak manfaat untuk dikomersialkan. Ini kerana bukan sahaja daun malah kulit pokok, bunga, buah dan akarnya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Daripada hanya menanam pokok itu sebagai hobi dan untuk kegunaan sendiri, beliau melabur sebanyak AS$3,000 daripada wang persaraannya untuk mengusahakan sebuah kebun kecil di Kampuchea.

Dengan sokongan dua orang anak perempuannya, Sheila dan Anita, wang simpanan dan dana orang ramai, beliau kemudiannya berjaya mengumpul sejumlah AS$80,000 untuk menubuhkan sebuah syarikat diberi nama, Lexmin Lty Ltd.

Lexmin adalah sebuah syarikat Australia berpangkalan di Kampuchea dan antara operasinya menanam pokok moringa dan tumbuhan makanan purba yang terdapat di Asia Tenggara untuk dijadikan suplemen makanan.

Menurut Robert, apa yang dinikmati hari ini adalah hasil kerja keras selama tiga tahun. Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Lexmin yang pada masa ini bernilai AS$3.6 juta.

Syarikat ini mempunyai kontrak lima tahun untuk membekalkan minimum 50 tan tanaman makanan organik ke Eropah dengan mematuhi piawaian keselamatan makanan organik Eropah.

“Ladang Moringa kami menghasilkan tuaian yang tinggi. Nilai protein tepung moringa organik kami yang melalui ujian makmal adalah di atas 32 peratus setiap 100gm, salah satu yang tertinggi di peringkat global,“ jelasnya.

Ladang Moringa Organik Lexmin seluas 22 hektar terletak di lokasi tanah Indeks Geografi (GI), wilayah Kampot Chuck, Kampuchea dan tanaman yang dihasilkan daripada ladang ini lebih tinggi mutunya.

Berbakti untuk masyarakat

Robert memberitahu Bernama, beliau bersedia menawarkan khidmat perundingan profesional serta kemahirannya kepada mana-mana negara ASEAN, termasuk Malaysia, untuk skim penempatan pekerja ladang yang dikawal kerajaan Australia.

“Pada usia 82 tahun, saya tak perlu mengumpul kekayaan tetapi saya mahu memberi fokus kepada kerja kemasyarakatan serta memperkasa komuniti yang dihimpit kemiskinan,” katanya.

Kesempitan hidup semasa kecil mengajar beliau untuk sentiasa merendah diri dan ingin berkongsi kejayaan serta kemahiran yang beliau miliki terutamanya dengan golongan yang memerlukan.

Meskipun sudah sekian lama meninggalkan tanah air, keutamaan Robert adalah untuk masyarakat kumpulan B40 di Malaysia dan kanak-kanak sekolah miskin di Kampuchea yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

“Pemakanan adalah amat penting pelajar pada usia muda kerana ini akan meningkatkan kemampuan pembelajaran dan menguatkan sistem ketahanan badan semula jadi.

“Saya sendiri menderita keadaan ini kerana saya pernah didiagnosis dengan kemurungan neuropsikiatri depresi semasa belajar di England. Ini akibat kekurangan pemakanan pada usia muda. Saya terpaksa kembali ke Malaysia pada tahun 1963 untuk rawatan di hospital di Sungai Petani, Kedah selama lima bulan.

Bertunjangkan semangat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Robert mempunyai beberapa nasihat untuk golongan belia iaitu jangan cepat berputus harapan dan sentiasa mencari peluang untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.

“Sentiasa peka dengan apa yang berlaku dalam persekitaran anda. Carilah ilmu sebanyak mungkin dan gunakan ilmu itu untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang panjang prosesnya.

“Usah sesekali mengambil jalan pintas kerana anda pasti dibelit masalah,“ katanya, sambil menekankan etika yang baik, prinsip serta integriti adalah nilai penting yang perlu dimiliki seseorang untuk berjaya dalam kehidupan. – Bernama