Dari gengster jadi ahli tinju profesional

Peluang kedua untuk berubah tidak pernah tertutup selagi kita membuka ruang dan percaya terhadap potensi diri untuk menjadi lebih baik.

Nampak klise, tetapi itulah yang banyak berlaku kepada individu yang berjaya meninggalkan segala episod hitam yang pernah tercalit dalam kehidupan mereka demi mencari sinar baharu dengan melibatkan diri dalam aktiviti sihat serta bermanfaat.

Mohd Irwan Noor Rashid, 22, berjaya membuktikan bahawa penglibatan dalam sukan Muay Thai berjaya mengubah hidupnya daripada remaja yang pernah terpesong dan tercicir dalam pelajaran suatu ketika dahulu untuk menjadi seorang ahli tinju profesional di gelanggang.

Anak muda dari Teluk Intan ini, sedang digilap dan dilatih sejak dua tahun lalu untuk bergelar ahli tinju Muay Thai bertaraf dunia oleh Kelab Dragon Muay Thai, yang terletak di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kejayaan bergelar juara sebanyak lapan kali dalam sembilan pertandingan Muay Thai yang disertainya di sekitar Kuala Lumpur dan Thailand sejak 2018, Mohd Irwan dilihat sebagai bakat muda yang berpotensi cerah dalam sukan Muay Thai.

Peninju Muay Thai, Mohd Irwan Rasyid, 22, menunjukkan trofi kemenangan pertamanya pada Pertandingan ‘Super 4 Fight Tournament’ tahun lalu yang dianjurkan oleh Yaya Muay Thai P.K.JA – Daeng -Roy Sub di Krabi,Thailand. – Bernama
Antara aksi para pelatih dari akademi Dragon Muay Thai Muhammad Syami Ismail (kanan) dan Mohd Irwan Rasyid (kiri) di Dragon Muay Thai. – Bernama
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Discover Muay Thai Imran Harith pada temu bual bersama Bernama di Dragon Muay Thai. – Bernama

Muay Thai atau tinju Siam merupakan ilmu bela diri sofistikated yang wujud lebih daripada 2000 tahun di Thailand akibat konflik dan peperangan. Asal usul Muay Thai, yang bermakna ‘seni lapan anggota’ melatih peninju menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang kadang kala boleh membawa maut.

Tercicir dalam pelajaran

Mengimbau keterlibatannya dalam sukan Muay Thai, Mohd Irwan berkata seperti kebanyakan remaja lain yang berjiwa ‘panas’, beliau mudah memberontak dan tidak suka dikongkong.

 “Ketika di sekolah menengah, saya berkawan dan melepak dengan orang dewasa. Sejak berusia 14 tahun, saya suka bergaduh. pantang diganggu atau dicabar, memang akan bergaduhlah.

“Kalau tidak silap, lebih lapan kali saya keluar masuk lokap balai disebabkan bergaduh,” katanya yang pernah berhenti sekolah ketika berada di tingkatan tiga.

Selepas berhenti sekolah, kehidupannya bertambah bebas sehingga beliau menyertai satu kumpulan gengster dan bekerja sebagai penjaga pusat hiburan di Teluk Intan dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Ketika itu, baru berusia 15 tahun, saya memang tak ingat langsung dengan sekolah…rasa terlalu seronok dengan apa yang saya buat,” katanya menambah, namun atas berkat doa dan pujukan ibunya, beliau akhirnya kembali ke alam persekolahan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015.

Kata Mohd Irwan, ibu dan bapanya tidak pernah mengetahui kegiatan jahat yang dilakukan beliau ketika itu.

Episod baharu

Titik perubahan pada diri Mohd Irwan hadir selepas beberapa tahun menamatkan alam persekolahan dan masih terlibat dapat aktiviti kumpulan gengster.

Pada suatu hari sekitar 2018, beliau dihubungi ibu saudaranya (mak su) yang tinggal di Petaling Jaya untuk mendaftarkanya dalam sebuah akademi Muay Thai di ibu negara.

Mohd Irwan, anak bongsu daripada enam beradik berkata umpama orang mengantuk disorongkan bantal, beliau lantas bersetuju kerana sememangnya meminati sukan Muay Thai dan pernah mempelajari asas Muay Thai di Teluk Intan.

“Keputusan untuk mengikuti Akademi Discover Muay Thai pada 2018 adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidup saya. Saya tidak menyangka dapat keluar dari daerah kelahiran di Teluk Intan dan membina kerjaya sebagai peninju Muay Thai,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Selama empat bulan di akademi Muay Thai, bermulalah episod baharu dalam hidup beliau bersama tujuh orang peserta lain berusia antara 16 dan 25 tahun. Mereka perlu mengikuti jadual harian asrama yang ketat — bermula seawal pukul 6 pagi sehigga 11 malam.

“Mulanya saya fikir sekadar belajar Muay Thai, rupa-rupanya disiplin sangat diutamakan selain perlu mengikuti kelas agama, bahasa Inggeris dan keusahawanan,” katanya sambil menambah latihan tinju Muay Thai di gelanggang hanya dijalankan mulai 3 petang.

Bercerita lanjut mengenai sukan Muay Thai, Mohd Irwan menjelaskan Muay Thai amat mementingkan rasa hormat pada pihak lawan dan orang lain. Disiplin yang diterapkan dalam sukan Muay Thai jugalah menghilangkan sikap panas barannya.

 “Semua teknik yang dipelajari kita lepaskan ketika di dalam gelanggang dengan cara yang betul. Keinginan bergaduh hilang, seni bela diri ini juga membentuk peribadi yang baik,” katanya yang bercita-cita mengharumkan nama Malaysia dalam sukan Muay Thai suatu hari nanti.

Kongsi pengalaman sama 

Perubahan dan pengalaman Mohd Irwan itu turut dirasakan Muhammad Shahmi Ismail, 22 tahun, bekas pelajar senior Akademi Discover Muay yang kini menjadi jurulatih kecergasan di Puchong.

Bagi Muhammad Shahmi. latihan empat bulan yang dijalani di Akademi Muay Thai membentuk perwatakan diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan dimanfaatkan dalam kerjaya beliau.

“Muay Thai tidak boleh digunakan sesuka hati di luar. Ia menerapkan rasa hormat walaupun dalam gelanggang. Selepas kita berlawan kita harus berkawan semula,” katanya yang pernah tiga kali dibuang dari sekolah dan merupakan kumpulan pertama pelajar menyertai Akademi Discover Muay Thai, pada 2015.

Setelah meninggalkan akademi berkenaan banyak perubahan berlaku dalam hidup anak muda ini terutama aspek disiplin, pengurusan masa dan paling penting dapat membuang sikap panas baran.

Cabaran beliau kini apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mempergunakan kebolehannya dalam Muay Thai, bagi menyelesaikan masalah dengan pihak lain.

“Kita kena pandai tepis dan elak berkawan dengan orang seperti ini. Apabila semakin dewasa, pemikiran juga semakin matang, kita tahu mana baik dan buruk,” katanya yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia kira-kira dua tahun.

Akademi bantu belia bermasalah

Akademi Discover Muay Thai diasaskan oleh Imran Harith, 30, dan Khairul Azri Mohamad Halid, 32, yang merupakan penaung bersama keusahawanan sosial itu sejak ditubuhkan pada 2015.

Kedua-dua mereka yang pernah bergerak aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) myHarapan diberikan tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah program yang unik dan memberi kesan dengan memfokuskan belia bermasalah di negara ini.

Menurut Imran, beliau yang meminati sukan bela diri khususnya Muay Thai mendapat idea menubuhkan akademi ini setelah melihat konsep kem Muay Thai di Thailand.

“Saya tinggal berbulan-bulan di Thailand untuk mempelajari seni Muay Thai. Di sana, saya dapati mereka wujudkan kem berkonsepkan asrama sebagai pusat melatih anak-anak terbiar, mangsa pemerdagangan manusia dan anak-anak yatim.

“Kami ambil idea itu bawa ke sini untuk membantu belia yang tercicir, bermasalah, belia gelandangan dan dilatih dengan seni bela diri Muay Thai,” katanya.

Dengan kerjasama pusat latihan Dragon Muay Thai yang menyediakan tempat latihan dan asrama, mereka merangka program latihan khusus bagi melatih belia yang bermasalah dalam pelajaran dan miskin.

Model latihan kecerdasan mental & kerohanian

Menurut Khairul Azri, model latihan yang diajar di akademi berkenaan tidak hanya tertumpu kepada fizikal semata-mata tetapi lebih kepada membentuk perwatakan peserta dengan menyeimbangkan antara kecerdasan mental dan kerohanian.

Selepas solat subuh, peserta akan menjalani latihan fizikal dengan berlari sekurang-kurangnya tujuh kilometer setiap hari.

Selepas waktu rehat, pelatih akan mengikuti kelas bahasa Inggeris atau agama sebelum menjalani latihan sesi petang bersama Ketua jurulatih Discover Muay Thai dari Thailand, Kru Slatan yang juga bekas juara dunia dua kali Muay Thai.

Pada sebelah malam pula, peserta akan menjadi pembantu jurulatih di pusat latihan Dragon Muay Thai.

“Ini pendedahan awal peserta untuk menjadi jurulatih fizikal dan mereka dibayar gaji untuk khidmat yang diberikan itu.

“Selepas tamat latihan, peserta akan diberikan kebebasan memilih haluan masing-masing dan akademi juga akan membantu mencari peluang kerjaya untuk bekas pelajarnya,” kata Khairul Azri.

Yang pasti, katanya, selepas mengikuti program di akademi tersebut, terdapat peserta sama ada kembali ke alam persekolahan, melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau memilih meneruskan kerjaya sebagai ahli tinju atau menjadi jurulatih kecerdasan. – Bernama