Dari hobi kini ramai menikmati manfaat berkebun

KUALA LUMPUR – Menceburi bidang hortikultur adalah antara kegiatan  yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia yang terpaksa ‘berkurung’ kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada yang baru berjinak-jinak dan menjadikan bidang atau seni menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran, bunga atau tanaman hiasan ini sebagai hobi sepanjang tempoh PKP, ada juga yang mahu ‘menghijaukan’ persekitaran rumah atau sebagai terapi minda. 

Kalau hendak diikutkan, hortikultur bukan tren baharu kerana kegiatan ini sudah bertapak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tekanan kehidupan dan kekangan kewangan antara faktor yang mendorong ramai yang tinggal di bandar yang kembali “berbudi kepada tanah”, meskipun kawasan tanah yang ada hanya “sekangkang kera” atau sekadar “berkebun di dalam pasu” di balkoni rumah.

Tren yang semakin meningkat  

Menurut Mahani Amat, pegawai pertanian (pengembangan), Pusat Transformasi Komuniti Universiti ( UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM), kecenderungan menceburi bidang hortikultur ini boleh dilihat daripada peningkatan Statistik Trend Google sepanjang PKP1.0 sehingga sekarang.

Irfan Irsyad dan Nurain Syuhadah begitu gembira membantu ibu mereka, Mahani Amat setiap kali menuai hasil sayur-sayuran yang ditanam di kawasan rumah mereka. – Bernama
Menurut Mahani Amat, kecenderungan menceburi bidang hortikultur ini boleh dilihat daripada peningkatan Statistik Trend Google sepanjang PKP1.0 sehingga sekarang. – Bernama
Semakin ramai rakyat Malaysia mula berjinak dengan aktiviti bercucuk tanam dan hortikultur di dalam kawasan rumah mereka sendiri.

Rakyat Malaysia, tambahnya, secara konsistennya sentiasa mencari maklumat baharu dan terkini mengenai hortikultur serta berkebun di rumah.

Ini menunjukkan kedua-dua bidang ini adalah antara aktiviti yang amat digemari oleh rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh, pada permulaan pelaksanaan PKP, pokok Sansevieria atau pokok Lidah Jin yang juga dikenali sebagai Pokok Lidah Mentua menjadi begitu popular sehingga ada yang dijual ratusan ringgit. Ini kerana permintaan yang meningkat akibat trend gaya hidup yang baru ini, ” katanya.

Dia yang dihubungi Bernama baru-baru ini berkata, menurut Jabatan Pertanian Malaysia, seramai 124,988 orang termasuk dari sekolah, institusi, orang perseorangan serta komuniti di sekitar 5,065 di seluruh negara menyertai program pertanian bandar sejak tahun 2014 sehingga setakat ini.

Di samping itu, semakin ramai pengusaha tapak semaian serta orang perseorangan mula berani menjual pokok tanaman mereka secara dalam talian kerana mendapat sambutan yang menggalakkan dari rakyat Malaysia, katanya.

Manfaat untuk semua

Ketika mengulas isu kenaikan harga sayur yang sering berulang pada penghujung tahun, Mahani berkata, ianya sering berlaku kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, yang menyebabkan kawasan tanaman dinaiki air.

Keadaan demikian, katanya, menyebabkan tanaman sayur rosak dan tidak dapat dituai sebelum tiba masa yang sesuai, dan akibatnya, permintaan pasaran tidak dapat dipenuhi.

“Sebagai tambahan, kadar kebergantungan yang tinggi kepada sayur-sayuran import mungkin juga melonjakkan harga. Ini berlaku apabila negara luar hanya mampu mengeksport kuantiti sayur yang terhad akibat musim sejuk melampau, di samping kos logistik, baja serta racun perosak yang meningkat,” katanya.

Mahani memberikan contoh, antara sayur-sayuran yang masih diimport oleh Malaysia (antara 0.7 hingga  9.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran tempatan) adalah bayam, sawi, kacang bendi (okra), kacang panjang, terung dan timun. 

“Sayur-sayuran ini amat sesuai di tanam dalam persekitaran rumah kerana mudah ditanam, dijaga dan tidak memerlukan kawasan luas. Malah boleh ditanam di dalam pasu serta sesuai untuk iklim di Malaysia,” katanya.

Mahani yang juga bercucuk tanam di rumahnya berkata, banyak manfaat daripada kegiatan berkebun di kawasan kediaman, termasuk faktor ekonomi yang mampu mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

“Daripada pengalaman saya sendiri, menanam pokok seperti serai, pandan, limau purut serta pudina, menjimatkan perbelanjaan dapur saya sehingga sebanyak RM200 sebulan. Lebihan tanaman ini boleh menjadi sumber pendapatan untuk keluarga saya.

“Daripada sudut sosial, kegiatan berkebun ini boleh menjadi salah satu kegiatan dalam kalangan anggota keluarga serta memperkukuhkan hubungan silaturahim antara jiran. Lebihan hasil tanaman boleh diagih-agihkan kepada jiran, “ katanya.

Berkongsi panduan berkebun, Mahani berkata amat penting untuk memberi layanan “ABCD” untuk tanaman iaitu A (Air), B (Baja), C (Cahaya dan D (Doa).

“Jangan bimbang untuk bercucuk tanam sendiri. Yang diperlukan adalah kesungguhan, minat serta yakin.

“Tambahan, dalam berkebun ini tidak ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mesti dipatuhi sepanjang masa. Berkebun ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk iklim yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan tanaman. Untuk itu, hanya masa serta pengalaman sendiri yang akan menjadi guru terbaik anda,” katanya.

Kemahiran kehidupan

Davina Goh, yang menjadikan kegiatan bercucuk tanam sebagai salah stail gaya hidupnya, mula ‘berkebun’ di balkoninya sejak tahun 2017 dan hobinya itu membawa keceriaan dalam kehidupan serta menambah seri ruang kediamannya.

“Sudah beberapa tahun saya mula bereksperimen dengan bercucuk tanam ini.

Saya seorang pelajar diploma Healing Diets, (pengajian dalam talian), School of Natural Medicine, United Kingdom, saya berasa ia adalah satu kemahiran hidup yang penting, iaitu belajar macam mana makanan itu dihasilkan dan belajar menanamnya sendiri, “ katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Davina, dia banyak menanam herba dan tumbuhan yang boleh dimakan seperti moringa, rosemary, basil, Indian Borage serta pudina, kerana dia lebih suka memasak makananannya sendiri dan kerjayanya melibatkan pembangunan resipi makanan.

Dia menambah, di samping berkebun di rumah sendiri satu kegiatan terapi, sebab utama dia berbuat demikian kerana dia tahu apa yang dimakan kerana makanan itu dihasilkannya sendiri.

“Saya suka tanaman segar yang saya tuai dan lebih yakin khasiatnya kerana antaranya, saya tidak menggunakan racun serangga.

“Semua produk yang saya gunakan adalah bukan toksik, terutamanya sayur-sayuran serta tanaman segar lain. Produk baja berasaskan tumbuhan yang saya gunakan juga mampu mencegah serangga dan menjadikan tanaman umbuh segar, serta mudah digunakan,” katanya. 

Guna produk tambahan

Bagi yang terlibat dalam kegiatan berkebun di rumah, mereka juga digalakkan menggunakan produk tambahan selain baja yang biasa supaya sayur-sayuran tumbuh sihat dan selamat untuk dimakan tanpa sebarang kebimbangan.

Ketua Eksekutif serta pengasas Plantonic, Eric Tan berkongsi dengan Bernama tentang intipati baja produk berasaskan tumbuhan, Plantonic, yang semula jadi dan tidak toksik.

Menurutnya, produk berkenaan juga bertindak sebagai penghalau serangga seperti pepijat dan kutu daun serta mencegah jangkitan kulat dan meningkatkan imuniti tumbuhan.

“Memandangkan minat terhadap hortikultur dan berkebun di rumah yang semakin meningkat, permintaan untuk produk kami ini juga semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Tambahan, produk kami ini selamat untuk digunakan ke atas sayur-sayuran, serta di dalam rumah dan tidak memudaratkan anak-anak dan haiwan peliharaan.

“Bukan itu sahaja, salah satu bahan utama produk kami ialah Shilajit, bahan yang dihasilkan daripada penguraian tumbuhan, yang sering dijumpai di pergunungan Himalaya, dan biasa digunakan dalam Perubatan Ayurveda, serta mengandungi sifat antibakteria semula jadi,” tambahnya. – Bernama