Dari mainan anak ke peringkat antarabangsa

ISKANDAR PUTERI – Siapa sangka kraf tangan berkonsepkan permainan interaktif yang pada permulaannya dihasilkan oleh seorang ibu buat anak-anaknya di rumah, kini mampu menjana sumber pendapatan daripada produk yang dihasilkan di bawah jenama ‘The Little Z’.

Malah, perniagaan yang bermula sejak dua tahun lepas itu kini semakin berkembang dan mendapat  tempahan bukan sahaja dari dalam negara, malah luar negara seperti Singapura.

Shahizatul Farha S Rosli berkata dia turut berhasrat untuk melebarkan lagi sayapnya ke negara Brunei dan bercadang akan meningkatkan lagi operasi, menambah mesin jahit selain mencari satu atau dua pembantu bagi mempercepatkan lagi pengeluaran.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata terdapat 11 produk kraf tangan di bawah jenama ‘The Little Z’  yang dihasilkan dengan bantuan seorang pembantu sambilan iaitu play mat, busy book, travel drawing kit, travel doll house, peek-a-book, multipurpose pocket bag, sling bag, bekas pensel, kalendar, bekas duit siling, dan terbaharu, pelindung muka untuk kanak-kanak.

Menurut wanita berusia 36 tahun itu, produk kraf tangan yang turut berkonsepkan ‘easy travel’ itu menggunakan fabrik pelbagai warna untuk menarik perhatian serta tidak membosankan, malah ia turut menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak itu sendiri.

Shahizatul Farha S Rosli bermain sambil mengajar tiga anaknya Zhafri Faaeq Shaiful Azhan, (kiri), Zharif Fakhri Shaiful Azhan (dua, kanan) dan Zara Faqiha Shaiful Azhan dengan produk yang dihasilkannya. – Bernama
Pereka produk kraf tangan di bawah jenama ‘The Little Z’, Shahizatul Farha S Rosli, menunjukkan antara produk yang dihasilkannya di rumahnya di Taman Pulai Hijauan. – Bernama

Ia turut menekankan pembelajaran kanak-kanak untuk mengenali haiwan, huruf, nombor, bentuk, aktiviti harian, serta menggunakan karakter kartun popular seperti Baby Shark.

Katanya, cetusan idea untuk menghasilkan kraf tangan itu bermula apabila dia melihat mainan yang dibelikan untuk anak-anaknya mudah patah dan rosak serta tidak tahan lama.

“Saya terfikir untuk hasilkan sesuatu sebab bila belikan mainan untuk anak-anak, senang patah dan rosak jadi anak akan minta untuk beli lagi.

“Jadi saya terfikir, apakah benda yang boleh dibuat dan paling utama, tahan lama dan lasak, jadi daripada itu tercetuslah idea dan produk pertama yang saya hasilkan adalah play mat. Jadi anak-anak boleh belajar sambil bermain,” katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Shahizatul Farha berkata perniagaanya itu turut disokong suaminya Shaiful Azhan Malik, 35, dan menjadikan tiga cahaya mata mereka iaitu Zara Faqiha, 7, Zharif Fakhri, 5, dan Zhafri Faaeq, 3, sebagai inspirasi dan mengambil pendapat daripada mereka bertiga untuk menghasilkan sesuatu produk.

“Mereka yang akan jadi eksperimen saya, saya akan bertanya dulu dengan mereka dan selepas buat anak-anak beri pendapat dan teguran, daripada itu saya hasilkan mengikut kesukaan dan kecenderungan daripada kanak-kanak sendiri,” katanya. Shahizatul Farha berkata biarpun tidak mempunyai kemahiran asas menjahit, dia tetap tekad untuk belajar bagi menghasilkan produk kraf tangan dan sehingga ini dia mempunyai dua mesin jahit.

“Pada mulanya, saya langsung tiada asas kemahiran menjahit, jadi memang nekad untuk cuba…kalau tidak faham bagaimana untuk menjahit dan cari idea-idea, saya akan lihat di Facebook, Pinterest dan lain-lain.

“Tetapi disebabkan adik saya juga adalah tukang jahit, dia akan ajarkan saya serba sedikit kalau saya tidak faham selebihnya saya akan teroka sendiri,” katanya. – Bernama