Dari minat hasilkan seruling jenama sendiri

KUALA LUMPUR – Minat mendalam Hairul Azhar Md Zakaria terhadap alat muzik tradisional Melayu sejak di bangku sekolah rendah mendorong beliau mempelajari seni pembuatan seruling sehingga mampu menghasilkan jenamanya sendiri.

Bermula dengan sekadar mempelajari seni tiupan seruling secara dalam talian, Hairul Azhar, 26, juruteknik sektor swasta, sudah menguasai seni pembuatan alat muzik itu di bawah jenamanya sendiri iaitu ‘Seruling Buana Suara’ sejak tujuh tahun lepas.

“Bermula tahun 2012, saya hanya bermain seruling secara suka-suka kerana tiada gajet macam sekarang ini, sekadar mengisi masa lapang. Saya mengikut rentak guru YouTube walaupun ilmu berkaitan seruling terhad pada masa itu.

“Sebab itu, corak permainan seruling saya tidak terlalu mahir namun saya tahu asasnya lalu membuat keputusan untuk menguasai ilmu pembuatan seruling yang semakin pupus ditelan zaman sejak 2016,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya mempelajari teknik seni pembuatan seruling, anak bongsu daripada enam adik-beradik itu berkata beliau berulang-alik dari Semenyih, Selangor untuk berguru selama dua tahun dengan seorang ‘sifu’ digelar sebagai ‘Arul Seruling’ di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dikenalinya di laman Facebook.

Hairul Azhar tidak menyangka usaha gigih beliau mempelajari dan menguasai kemahiran pembuatan seruling akhirnya membuahkan hasil. – Bernama

Hairul Azhar berkata seni pembuatan alat muzik itu memerlukan kesabaran tinggi dan minat mendalam bagi menghasilkan seruling yang berkualiti untuk memuaskan hati pelanggan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk menghasilkan seruling kerana ia memerlukan buluh jenis Temiang yang berkualiti. Bahan itu agak sukar ditemukan kerana tidak semua tempat ada. Saya juga ambil bahan itu daripada pembekal yang tinggal di Kuantan, Pahang.

“Ia dimulakan dengan proses memotong ruas buluh mengikut panjang yang dikehendaki dan membersihkannya. Selepas itu, rendam buluh dalam air garam dan keringkan dalam suhu bilik sehingga buluh berkenaan bertukar warna coklat krim,” katanya.

Menurut anak jati kelahiran Kota Tinggi, Johor itu beliau mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi menghasilkan seruling berkualiti termasuk proses membuat lubang tiupan dan mengecat.

Beliau berkata proses membuat seruling perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana buluh adalah bahan sensitif dan tidak boleh tersalah langkah dalam menghasilkan ketepatan ‘kod’ yang tidak lari daripada bunyi asal alat muzik tradisional itu.

Hairul Azhar tidak menyangka usaha gigih beliau mempelajari dan menguasai kemahiran pembuatan seruling akhirnya membuahkan hasil kerana mampu dikomersialkan secara meluas ke seluruh negara menerusi laman sosial sebagai pendapatan sampingan.

“Semenjak berkecimpung dalam bidang ini, saya memang mengambil tempahan secara dalam talian iaitu di laman Facebook dan Instagram. Sebaik menyiapkan seruling mengikut kehendak pelanggan, saya akan membuat penghantaran melalui pos dan yang paling jauh setakat ini ialah ke negara Brunei, Singapura serta Indonesia.

“Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini, permintaan memang meningkat sehingga 60 peratus berbanding sebelumnya, ramai rakyat Malaysia yang mahu belajar bermain seruling pada ketika itu,” katanya.

Hairul Azhar berkata ketika itu, beliau meraih pendapatan sebanyak RM13,895 bagi penjualan seruling berharga dari RM70 hingga RM170 mengikut ketetapan ‘kod’ yang dikehendaki pelanggan. – Bernama