Dari minat jadi usahawan kelulut bumiputera berjaya

MARANG – Di sebalik kemanisan madu, pelbagai khasiat yang bermanfaat boleh diperolehi untuk tubuh badan. Mulai dari untuk perawatan kulit, menyembuhkan luka, membantu menurunkan berat badan dan juga boleh berfungsi sebagai antioksidan.

Namun, pada saat ini kebanyakan madu yang dijual tidak dapat dipastikan keasliannya kerana ditambah oleh penjual dengan bahan-bahan tertentu seperti gula dan pewarna makanan.

Jaminan pulangan wang 10 kali ganda kepada pelanggan diberikan jika madu kelulut dibeli daripada syarikat Big Bee Honey Sdn Bhd adalah tidak asli. Itulah jaminan kepada pelanggan sekiranya dapat membuktikan madu yang dijual di galeri mini madu Big Bee Honey yang terletak di Kampung Jambu Bongkok adalah madu tiruan.

Pengarah urusannya, Nor Ehsan Abdul Rahman, berkata beliau berani memberi jaminan itu kerana keaslian madu kelulut keluaran syarikatnya adalah hasil tuaian daripada 500 hingga 1,000 koloni kelulut di empat ladang miliknya di sekitar Pantai Timur.

Beliau adalah antara usahawan bumiputera terawal yang menceburi ternakan kelulut secara komersial di Terengganu sejak tahun 2012 dan galeri mini madu di Jambu Bongkok itu adalah yang pertama seumpamanya di Pantai Timur.

Kelulut yang menghasilkan madu berkualiti tinggi bagi madu keluaran Madu Big Bee Honey Sdn Bhd dengan memberikan jaminan wang akan dikembalikan 10 kali ganda jika dapat membuktikan madu keluaran syarikat berkenaan tidak asli.
 – Bernama
Nor Ehsan Abdul Rahman (kanan) menunjukkan cara menuai madu kelulut yang betul dengan menggunakan peralatan khas menyedut madu tersebut kepada pekerjanya Mohd Hanafee Mat Jusoh, 26, ketika ditemui di Galeri Madu Big Bee Honey, Kampung Jambu Bongkok. – Bernama

Anak jati Kampung Merchang itu, berkata sehingga kini syarikatnya mampu mengeluarkan antara 150 hingga 200 kilogram (kg) madu kelulut dengan nilai lebih RM50,000 setiap musim.

“Kelulut adalah satu perniagaan baharu yang menjadi lubuk emas kepada usahawan tani sejak 10 tahun lalu kerana permintaan pasaran terhadap madunya sangat tinggi dan luas.

“Ramai sudah tahu mengenai khasiatnya terhadap kesihatan, malah penjagaannya yang tidak terlalu cerewet memudahkan sesiapa sahaja boleh menjadi usahawan kelulut, cuma pastikan ada ilmu yang cukup dan strategi pemasaran terbaik untuk bersaing di pasaran,” katanya kepada media, ketika ditemui di galeri mininya.

Mengimbas semula penglibatannya sebagai usahawan kelulut, Nor Ehsan berkata minatnya bermula ketika berusia 15 tahun kerana persekitaran kampungnya yang terkenal dalam kalangan pemburu madu lebah asli di Terengganu.

“Pernah sekali saya dapat madu seberat 20kg, itu memang kenangan manis selepas menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ia umpama ‘durian runtuh’ untuk seorang remaja.

“Sejak itu, saya mula menanam minat mahu menjadi usahawan dalam bidang ini dan memulakan ternakan sejak 2007 secara sambilan. Hasil keuntungan dan duit simpanan itu, saya memberanikan diri berhenti kerja di sebuah bank untuk bergelar usahawan sepenuh masa,” katanya yang turut mendapat bimbingan dari Jabatan Pertanian Malaysia.

Selepas berjaya menempah nama dalam ternakan lebah, Nor Ehsan mula menyedari bahawa ternakan kelulut juga mempunyai potensi besar hasil perkongsian maklumat daripada seorang usahawan bidang itu dari Thailand.

Pada peringkat awal, beliau telah membeli dua set log kelulut dari seorang pengusaha berbangsa Cina berharga RM3,800 bagi mendapatkan kemahiran penternakan kelulut dengan cara yang betul dan produktif, selain turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Serdang, Selangor.

“Itulah permulaan saya dalam ternakan kelulut dan sejak itu, saya mula mencari ilmu dalam dan luar negara untuk mengembangkan lagi perniagaan ini termasuk menghasilkan produk hiliran seperti sabun berasaskan madu kelulut.

“Kami juga dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan,” katanya yang telah melaburkan hampir RM1 juta untuk membeli mesin pemprosesan madu.

Sebagai perintis terawal usa-hawan kelulut di Terengganu, Nor Ehsan sangat kreatif dalam mempelbagaikan inovasi madu kelulutnya iaitu meletakkan sarang di ladang berbeza untuk menghasilkan madu pelbagai versi demi menarik minat pelanggan.

“Hanya di Big Bee Honey sahaja ada keluaran madu kelulut pelbagai versi seperti lada hitam, kelapa, akasia, pokok hutan, jambu air, seribu bunga dan dusun buah yang mempunyai peminat tersendiri kerana keunikan rasanya yang istimewa mengikut musim bunga.

“Namun, madu pelbagai versi ini tidak ada sepanjang masa kerana ia bergantung kepada musim buah-buahan dan ‘rezeki’ madu liar dari pedalaman hutan seperti tualang dari Tasik Kenyir,” katanya yang dibantu lapan pekerja sepenuh masa ketika ini.

Harapannya agar lebih ramai usahawan belia dapat menyertai ternakan kelulut dan agensi kerajaan yang terlibat terus proaktif dalam memperkasakan industri kelulut yang sangat berpotensi menjana sumber ekonomi negara pada masa depan.

Beliau juga berharap galeri mininya akan disenaraikan dalam lokasi pelancongan yang wajib dikunjungi sekiranya datang ke Terengganu kerana ia bakal melonjakkan lagi sektor agropelancongan di negeri ini. – Bernama