Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Dari minat menjadi pengusaha nuget popular

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dengan berpegang kepada prinsip yakin dan optimis tanpa berdalih, usahawan dua orang adik-beradik bersama ibu tersayang memberanikan diri untuk menceburi bidang keusahawanan yang penuh cabaran di tanah air dicintai ini.

    Meski mengetahui dunia berjual beli ini mempunyai pasang surutnya namun mereka tetap mengorak langkah bersama membawa seribu harapan demi meraih rezeki pendapatan yang halal dalam kehidupan seharian.

    “Bermula dari detik adik saya yang hanya ‘suka-suka’ mencuba mengolah nuget homemade di rumah sehingga permintaan hangat diterima daripada anak-anak kami yang menyukainya setiap kali dihidangkannya setelah digoreng. Maka pada saat itu, tercetus di benak fikiran ibu saya sendiri yang mencadangkan untuk membuka jualan dalam talian dan pada masa yang sama saya terus memainkan peranan untuk mempromosi produk kami sehingga kini.

    “Rezeki itu milik Allah, selagi kita rajin berusaha pasti ada jalannya. Sambutan begitu memberangsangkan, Alhamdulillah!,” itulah antara perkongsian tulus salah seorang usahawan nuget homemade tempatan yang telah usahakan secara dalam platform talian, Dayangku Diana binti Pengiran Adi Sufri, 32 bersama adiknya, Dayangku Nurnazerah binti Pengiran Adi Sufri, 30, dan ibu tersayang, Dayang Muna binti Haji Abd Ghani, 52, ketika mengimbas kembali detik mula menceburi bidang jualan tersebut semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Menyelami ilmu masakan dari kelas online

    Memandangkan ketiga-tiga mereka bekerja sebagai suri rumah, Dayangku Diana bersyukur dapat mengusahakan perniagaan nuget homemade berasaskan isi ayam dengan sepenuh masa sejak bulan September tahun lepas di mana terdapat dua jenis pilihan iaitu original dan juga keju.

    Dayangku Diana, Dayangku Nurnazerah dan Dayang Muna ketika mengimbas kembali detik mula menceburi bidang jualan nuget semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
    Demi menitikberatkan kualiti produk, perkara utama yang ditekankan adalah kesegaran dan kebersihan ayam tanpa menggunakan bahan pengawet.
    ATAS & BAWAH: Perniagaan nuget homemade yang berasaskan isi ayam mempunyai dua jenis pilihan iaitu original dan juga keju.

    “Kemahiran kami diperoleh semasa kami mengikuti kelas masakan online yang mengetengahkan produk ini. Percubaan demi percubaan menjadi peneman kami sebelum mencekalkan hati membuka perniagaan dalam talian ini.

    “Di musim pandemik, apa yang sering didengar tentang kehabisan stok nuget di kedai-kedai maka pada saat itulah keyakinan kami untuk memperkenalkan produk kami kepada masyarakat yang meminatinya semakin teguh,” kongsinya lanjut yang secara umumnya menetapkan anggaran harga antara $4 hingga $10 untuk produk homemade mereka.

    Menghasilkan nuget mencecah 800 ketul

    Dalam pada itu, Dayangku Diana turut menjelaskan bahawa demi menitikberatkan kualiti produk, perkara utama yang ditekankan mereka ialah kesegaran dan kebersihan ayam tanpa menggunakan bahan pengawet, lebih-lebih lagi proses dari awal, termasuk pemotongan isi ayam dan taburan rempah-ratus serta pembentukan saiz nuget sehingga pembungkusan dan disimpan dalam peti beku semuanya dilakukan secara manual.

    “Lelah itu lumrah namun apa yang pasti amanah untuk menyelesaikan tempahan dengan penuh kasih sayang itu merupakan segalanya. Bukan hanya kuantiti semata-mata bahkan juga kualiti itu lebih utama dari segalanya.

    “Kini kami sudah menjual sebanyak 5,000 ketul nuget secara keseluruhannya sejak kami membuka jualan tempahan,” ucapnya dengan nada penuh kesyukuran. Menurutnya, mereka menyediakan tempahan dianggarkan berjumlah 500 hingga 800 ketul dalam seminggu.

    Cabaran pasti ada

    Berkongsi dari segi cabaran meniti bidang perniagaan sebegini, Dayangku Diana mengemukakan salah satu cabaran yang dihadapi mereka adalah ketelitian dalam mencari dan membeli ayam segar dengan kualiti kesegaran yang terjamin.

    “Pernah berlaku apabila kami terpaksa membuang ayam-ayam yang dibeli tidak lagi segar demi menjamin kualiti pembuatan. Adalah menjadi kepuasan kami apabila para pelanggan merasa gembira dengan kualiti produk kami secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

    Demi sebuah harapan

    Menyimpan cita-cita perniagaan yang dijalankan berkembang luas lagi, namun usaha yang lebih gigih harus ditanai dari hari ke hari. Begitulah harapan Dayangku Diana bersama ibu dan adik beliau dalam sama-sama menerajui perniagaan kecil-kecilan mereka.

    Mereka berhasrat membeli mesin-mesin khas seperti mengolah bahan-bahan serta juga menjadi pembekal tempatan kepada pasar raya-pasar raya tanah air.

    Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun pengusaha ibu dan anak yang menetap di Kampung Kupang ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

    “Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini. Oleh itu, perlu ingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua cabaran yang bakal ditempuhi. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit,” ujar tulus Dayangku Diana bersama ibu dan adik beliau semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...