MODRICI, Croatia – Sebuah rumah usang menjadi testimoni kepada trauma yang dialami Luka Modric sebelum dia menjadi wira pasukan kebangsaan Croatia dan bintang Real Madrid.
Terletak di sebalik pergunungan Velebit, di mana kejiranan berdekatan berada beberapa kilometer dari sana, pokok-pokok mula tumbuh di dalam runtuhan di mana Modric menghabiskan masa kanak-kanaknya dan kelihatan satu papan tanda amaran bahaya periuk api.
Nenek pemain itu, yang juga bernama Luka, tinggal di rumah itu, yang terletak di satu jalan pergunungan melintasi perkampungan kecil Modrici.
Modric, yang dilahirkan pada tahun 1985, menghabiskan tahun awalnya di sana dan di sebuah kampung berdekatan, Zaton Obrovacki sehingga perang kemerdekaan Croatia 1990-an meletus.
Neneknya dibunuh oleh pasukan Serbia, rumahnya dibakar dan keluarga itu melarikan diri ke bandar tepi pantai, Zadar, kira-kira 40 kilometer jauhnya.


“Saya terdengar mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang selalu bermain bola sepak di sebuah koridor hotel bagi pelarian, bahkan tidur dengannya,” kata Josip Bajlo, yang ketika itu merupakan jurulatih psukan pertama di NK Zadar dalam Divisyen Pertama, di mana Modric mula mencipta nama sebagai pemain pintar.
Apabila Bajlo menyaksikan Modric bermain, dia terus mendaftarkannya bagi sekolah bola sepak kelab itu, di mana dia terus menonjol.
“Dia menjadi idola bagi generasinya, seorang pemimpin dan pemain pilihan.
Berlatih di tengah perang
Perang 1991-1995 dengan pemberontak Serbia, ketika Zadar dan kawasan sekitarnya menghadapi serangan, telah menguatkan Modric, menurut mereka yang rapat dengannya.
“Ia terjadi berjuta-juta kali di mana kami pergi untuk menjalani latihan ketika kena serang dan kami berlari mendapatkan perlindungan,” kata kawan zaman kanak-kanaknya, Marijan Buljat, yang berlatih dan bermain bersama Modric sejak kecil.
Marijan, 36, bekas pemain profesional, masih rapat dengan Modric dan percaya latar belakang yang sukar telah memberikan kekuatan pada watak dan mentaliti kapten Croatia itu.
“Ia setentunya menjadi salah satu faktor penyumbang, yang mendorongnya menjadi antara pemain terbaik.”
Oktober lepas, Modric telah tersenarai dalam pasukan FIFA FIFPro buat kali ketiga oleh ribuan pemain profesional.
Pada tahun 2015, dia menjadi pemain Croatia pertama diundi bagi kesebelasan FIFPro.



Pada tahun 2000, Modric meninggalkan kelab pertamanya NK Zadar bagi menyertai Dinamo Zagreb dan kemudian menyertai kelab Liga Perdana, Tottenham Hotspur pada tahun 2008.
Selepas satu perang bidaan, dia telah disambaar oleh Real Madrid pada tahun 2012.
Imej tercemar
Namun popularitinya di Croatia dan imej baiknya tercemar oleh testimoninya tahun lepas dalam satu perbicaraan rasuah bernilai jutaan dolar ke atas bekas ketua Dinamo Zagreb, Zdravko Mamic.
Testimoni Modric menyokong kes Mamic menentang pertuduhan rasuah, mencetuskan kemarahan ramai penyokong yang menganggap perbicaraan itu sebagai peluang untuk membersihkan sukan itu daripada rasuah.
Para pendakwa raya kemudian mendakwa Modric pada bulan Mac atas memberikan bukti palsu, satu kesalahan yang boleh membawa kepada penjara lima tahun.
Namun indikmen itu masih belum diluluskan oleh mahkamah dan pemain itu ketika ini tidak diancam bagi penahanan.
Kemarahan penyokong mula beransur hilang selepas persembahan hebat Modric dalam kelayakan Piala Dunia.
Namun sebahagian penyokong dan jurulatih Zlatko Dalic bimbang isu itu akan menjejaskan persembahannya di Rusia.
Modric menjawab kebimbangan itu dengan memberitahu akhbar Jutarnji Croatia bahawa ‘dia tidak bersalah dan perkara yang terjadi di sekeliling tidak mempengaruhi permainan saya.” – AFP