Dari pemburu jadi pelindung penyu terancam

CHAGAR HUTANG, MALAYSIA – Aziz Mustaffa biasa mengutip telur penyu dari pantai Malaysia dan menjual telur tersebut. Namun sekarang, beliau mencari rezeki sebagai renjer melindungi sarang penyu.

Perubahan dalam pekerjaan beliau merupakan satu kejayaan dalam usaha sukar untuk mempertahankan haiwan reptilia terancam yang berenang ke pantai ke negara tropika dari Laut China Selatan untuk bertelur di pasir.

Beberapa spesies, termasuk penyu Hijau, Hawksbill dan penyu belimbing, membuat sarang di pantai Malaysia, di mana pemandangan anak penyu menetas dan berlari dengan cepat ke dalam laut telah lama menjadi tarikan utama pelancong.

Namun jumlah mereka telah merosot mendadak disebabkan pencemaran laut yang semakin teruk, pembangunan pantai dan orang merampas telur mereka, yang merupakan makanan tempatan popular.

Bagaimanapun, penyokong pemuliharaan telah mencatat kemajuan. Selain memujuk beberapa orang seperti Aziz untuk mengubah cara mereka, negeri Terengganu, tapak sarang penyu utama, telah mengumumkan ia akan mengharamkan perniagaan telur penyu.

Gambar yang diambil dengan penapis merah menunjukkan penyu laut hijau cuba bersembunyi dari pemangsa selepas bertelur di pantai Pusat Perlindungan Chagar Hutang di pulau Redang. – AFP
Camille Abiven (kanan), pelajar Perancis dari Universiti Perpignan Via Domitia, memeriksa telur penyu laut hijau yang belum menetas di pantai Chagar Hutang, pulau Redang. – AFP
Seorang anggota sukarelawan memeriksa anak penyu laut hijau, dikeluarkan dari sarang, di pantai Pusat Perlindungan Penyu Chagar Hutang, pulau Redang. – AFP
Pelanggan membeli telur penyu di Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu. – AFP

“Penyu dan telur merupakan harta khazanah negara kami,” beritahu Aziz, 44, kepada AFP, selepas memerhati sekumpulan haiwan reptilia muncul dari laut dan bertelur di pantai Pulau Redang, Terengganu.

“Saya rasa saya ialah bapa angkat mereka dan saya mahu melindungi mereka untuk generasi masa depan. Ia memberikan saya kepuasan apabila melihat penyu besar kembali ke sini untuk bertelur.”

Kumpulan yang terdiri daripada 20 penyu betina datang ke pantai pada malam, merangkak di pantai Chagar Hutang, dengan Aziz memerhati bersama beberapa penyokong pemuliharaan lain.

Mereka menggali lubang dan mengeluarkan beribu-ribu telur, sebelum berenang balik ke laut. Di pantai seluas 350 meter yang sama, salah satu sarang penyu paling sibuk di Malaysia, anak penyu menetas dan berlari dengan pantas ke dalam air.

Manusia bukan sahaja ancaman yang dihadapi oleh mereka – biawak memakan telur mereka, sementara banyak yang dimakan oleh ikan yu dan ikan pemangsa sebaik mereka memasuki dalam air.

Aziz, berasal dari keluarga nelayan miskin di pulau itu, masih ingat bagaimana beliau bersembunyi dalam belukar di tepi pantai dan meluru keluar untuk menyambar telur sejurus selepas penyu bertelur, dengan pertengkaran sering meletus di antara pengutip yang bersaingan.

Telur tersebut seterusnya dijual kepada peniaga tempatan atau dimakan, dan merupakan sumber utama protein dalam diet terhad, walaupun ia mulai berubah apabila pendapatan meningkat dan terdapat pilihan makanan berlainan.

Pada masa yang sama, Aziz sedar terdapat lebih banyak faedah untuk komuniti tempatan dalam melindungi sarang penyu daripada menggeledahnya, tatkala pelancong yang ramai mengerumuni pantai untuk melihat haiwan tersebut.

“Saya sedar jika spesies berhijrah ini dilindungi, penduduk kampung di Redang mampu mengekal mata pencarian mereka,” kata beliau.

Oleh itu, beliau mula bekerja untuk unit penyelidikan penyu Universiti Malaysia Terengganu untuk melindungi haiwan itu, memperoleh kira-kira $400 sebulan.

Sekarang beliau bekerja bersama dua renjer lain dan sekumpulan sukarelawan untuk melindungi telur daripada pemburu dan pemangsa seperti biawak.

“Penduduk kampung di Pulau Redang kini menikmati pendapatan yang stabil dari pelancongan apabila semakin ramai orang datang melihat penyu Hijau bertelur,” kata beliau.

Mohamad Uzair Rusli, ahli biologi yang bekerja menyelamatkan penyu di universiti itu, bersetuju memberikan penduduk tempatan satu cara untuk mendapatkan wang dengan menjaga haiwan berkenaan adalah kaedah terbaik melin-dungi masa depan penyu.

Namun beliau mengingatkan bahawa tanpa mengatasi ‘permintaan tinggi’ untuk telur – dianggap afrodisiak oleh kebanyakan orang – haiwan tersebut menghadapi masa depan yang tidak terjamin.

Pengutip berlesen masih dibenarkan beroperasi di Terengganu, di pantai timur laut semenanjung Malaysia, dan penjualan telur kebanyakan spesies masih sah dari segi undang-undang.

Namun pihak berkuasa negeri telah berjanji akan mengharamkan perniagaan dalam semua telur penyu pada akhir tahun ini, ekoran tekanan daripada kumpulan pemuliharaan.

Buat masa sekarang, Terengganu hanya melarang perniagaan telur penyu Belimbing, selepas jumlah haiwan itu merosot mendadak, tetapi bukan spesies lain yang biasa ditemui di negeri.

Bagaimanapun, mengubah tradisi berusia berabad lamanya adalah sukar.

Pada satu lawatan baru-baru ini, telur dijual secara terbuka di sebuah pasar sibuk di ibu negeri Kuala Terengganu, dengan pembeli membayar $12 untuk 10 biji telur.

Peniaga Nor Jannah berkata perniagaan adalah laris, dan mengetepikan cadangan mengatakan memakan telur menimbulkan ancaman kepada penyu.

“Adalah mustahil penyu akan menjadi pupus,” kata wanita berusia 32 tahun itu. “Saya telah memakan dan menjual telur penyu sejak saya berusia 12 tahun.” – AFP