Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Dari suri rumah kepada usahawan keropok

    KUALA NERUS – Kesungguhan seorang suri rumah Nur Akmal Alias yang mahu meningkatkan taraf hidup keluarganya menerusi bidang perniagaan akhirnya membuahkan hasil apabila dia kini bergelar usahawan keropok berjaya.

    Wanita berusia 41 tahun itu berkata dia melihat perniagaan keropok sangat berpotensi di Terengganu kerana sering menjadi pilihan pelancong sebagai buah tangan untuk dibawa pulang kepada saudara mara dan rakan-rakan.

    “Ayah saya juga penjual keropok, ahli keluarga saya ramai berniaga keropok di tepi jalan dekat sempadan Kemaman-Kuantan, jadi daripada situ saya nampak saya boleh kembangkan perniagaan ini.

    “Pada 2015, saya nekad nak mula berniaga dan bernasib baik kerana suami menyokong sepenuhnya hasrat saya dan dia juga ambil keputusan untuk berhenti kerja (kerja swasta) dan kami mula berniaga di hentian rehat dan rawat (R&R) Perasing (dekat Kemaman) di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2),” katanya.

    Usahawan berasal dari Kampung Binjal di Kemaman itu ditemui Bernama selepas mengadakan sesi perkongsian pengalaman ‘Dahulu Suri Rumah Kini Usahawanita’ di pentas utama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri baru-baru ini.

    Kesungguhan Nur Akmal Alias yang mahu meningkatkan taraf hidup keluarganya menerusi bidang perniagaan akhirnya bergelar usahawan keropok berjaya. – Bernama
    Nur Akmal Alias mengadakan sesi perkongsian pengalaman ‘Dahulu Suri Rumah Kini Usahawanita’ di pentas utama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri. – Bernama

    Nur Akmal berkata perniagaan bagaimanapun bukanlah satu bidang yang mudah sebaliknya memerlukan kesabaran tinggi serta usaha berterusan tanpa mudah berputus asa.

    Menurutnya tiga tahun pertama adalah tempoh paling sukar baginya kerana selain belum cukup dikenali, lokasi perniagaan di R&R tidak sama seperti tempat lain kerana ia terletak jauh daripada laluan orang ramai.

    “Saya hampir putus asa, R&R itu tidak ramai orang, hendak dapat RM10 sehari pun susah… Tambah pula anak-anak masih kecil pada masa itu, yang bongsu kerap demam panas dan terkena sawan, seksa betul masa itu. Tapi sebenarnya berniaga di R&R ini bagus untuk jangka masa panjang.

    “Saya bersabar, perlahan-lahan saya tetap teruskan usaha dan kini selepas tujuh tahun, keuntungan dah berlipat ganda dan saya kini ada lima pembantu,” kata ibu kepada tiga anak berusia 16 hingga sembilan tahun itu.

    Ditanya mengenai bantuan dan bimbingan sepanjang tempoh berniaga, Nur Akmal berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) antara agensi yang banyak membantunya sehingga berjaya dalam perusahaan keropok.

    “Mereka beri bimbingan kemahiran dan praktikal, dari situ saya belajar banyak perkara untuk menjadi usahawan berjaya dan pihak ECERDC turut ajar cara pengurusan kewangan, pemasaran dan juga cara untuk pasarkan produk secara dalam talian.

    “Jadi selain berniaga di R&R saya juga ada jual produk secara dalam talian termasuk platform Shopee dan permintaan agak bagus setakat ini,” katanya yang menjual keropok keping, keropok lekor, sos pencicah dan juga sata.

    Katanya, penganjuran karnival secara besar-besaran seperti Jelajah AKM juga memberi peluang keemasan untuk menonjolkan diri serta memperkenalkan produknya yang menggunakan label cap Mutiara.

    “Penjenamaan produk itu sangat penting, apabila orang dah kenal kita senang nak berniaga dan saya juga sentiasa pastikan premis perniagaan sentiasa bersih dan mendapat gred A (pengredan Jabatan Kesihatan) dari segi kebersihan,” katanya.

    Dalam pada itu Nur Akmal berkata, sistem sokongan terutama keluarga sangat penting dalam memastikan kejayaan setiap usahawan dan menasihati orang ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan agar tidak takut untuk bermula dari ‘bawah’ dan jangan cepat mengalah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...