Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Daripada minat jadikan rekaan istimewa

    Oleh Amri HTZ

    Menyaksikan matahari terbit diiringi dengan kicauan burung yang berterbangan pada pagi hari merupakan waktu yang begitu mempesonakan.

    Keindahan menikmati alam semula jadi menjadikan sesetengah peminat haiwan terutamanya burung ingin membuatkannya tidak pernah berakhir.

    Sebahagian daripada mereka sanggup pergi ke sesuatu tempat atau negara untuk mendapatkan pengalaman tersebut.

    Bagi mereka yang tidak dapat melakukannya, terdapat satu cara penyelesaian iaitu dengan mereka ‘suasana’ tersebut dalam rumah melalui rekaan.

    Antara barang yang diperlukan

    Projek DIY kali ini akan mereka sebuah bingkai 3D mengandungi burung berterbangan di langit meniru keadaan sebenar alam semula jadi.

    Kepingan papan yang telah lakar dan akan dirosakkan sebahagian permukaannya sesuai dengan tema rekaan.
    Teknik mengekalkan kedudukan papan sebelum merosakkan bahagian yang dilakar menggunakan pahat kayu.
    Bahagian permukaan papan yang telah dirosakkan (dibentuk) yang kemudiannya akan dicantumkan dengan bingkai sokongan pada bahagian belakang.
    Lampu LED yang telah ditempatkan pada bahagian belakang rekaan (kepingan papan yang dicantumkan).

    Untuk merekanya memerlukan awda untuk menyediakan kepingan kertas, pita perekat, pen penanda, gunting pelbagai guna, helaian aluminium berketebalan 0.5 milimeter (mm), gunting tahan lasak (khusus besi), kikir besi, kepingan medium-density fibreboard (MDF), pahat, alat bench vise, alat pengepit kayu, tukul, mesin gerudi, skru, LED strip dan mekanisme lampu, beberapa batang kayu 1 inci x 1 inci, mesin pemotong kayu dan papan lapis 3mm.

    Cukup mudah namun perlu perhatian tinggi

    Kepingan papan MDF tersedia terlebih dahulu akan dipotong dengan ukuran diperlukan iaitu 5 inci lebar dan 20 inci panjang untuk empat keping. Sementara itu kayu berukuran 1 inci x 1 inci pula akan dipotong dengan panjang 20 inci untuk dua batang dan 18 inci dua batang.

    Tetapkan rip fence pada kedudukan 5 inci dari bilah pemotong kemudian sorong perlahan papan untuk memulakan potongan.

    Kepingan papan MDF tersebut kemudiannya akan dibentuk dengan cara merosakkan sebahagian kepingan menggunakan pahat kayu. Hal ini dilakukan bagi memberikan gambaran sebuah dinding atau siling yang ‘rosak’ dan darinya boleh kelihatan keadaan langit bersama burung yang berterbangan.

    Untuk melakukannya, papan tersebut akan ditetapkan kedudukannya sama ada menggunakan pengepit kayu atau bench vise. Setelah itu salah satu bahagian akan dirosakkan menggunakan pahat kayu.

    Bagi papan pada bahagian kedua-dua hujung rekaan akan dirosakkan bahagian tengahnya sementara untuk dua keping papan lagi di bahagian tengah rekaan, akan dibuangkan bahagian tengahnya seperti yang boleh dilihat pada gambar disertakan.

    Apa yang penting ketika melakukan langkah merosakkan sebahagian papan ini, bahagian-bahagian tersebut perlulah dalam keadaan seragam iaitu kedudukan bahagian yang rosak perlulah bersambung di antara papan yang digunakan.

    Bagi memastikan garisan bahagian yang dirosakkan seragam, terlebih dahulu cantumkan sementara kesemua kepingan papan pada meja kerja kemudian lakar kawasan yang ingin dirosakkan.

    Setelah melakukannya, kesemua kepingan papan tadi akan dicantumkan menjadi satu menggunakan skru. Sebelum langkah tersebut boleh dilakukan, awda terlebih dahulu perlu mencantumkan kayu berukuran 20 inci dan 18 inci panjang yang telah dipotongkan sebelumnya.

    Ia merupakan bingkai sokongan pada bahagian belakang rekaan yang berfungsi sebagai sandaran kepingan papan bahagian utama (depan).

    Bingkai sokongan yang telah dicantumkan kemudiannya akan disapukan dengan gam kayu pada keseluruhan permukaan depan di mana kepingan papan akan dicantumkan.

    Begitu juga sudut cantuman antara kepingan papan yang perlu disapukan gam kayu.

    Setelah itu, awda boleh mengekalkan kedudukan kepingan papan menggunakan skru atau air nailer memandangkan ukuran kokotnya yang kecil boleh menyembunyikan teknik cantuman.

    Jika awda inginkan kerja yang lebih bersih ketika menggunakan skru, setelah memasukkannya, awda boleh menyembunyikannya dengan menyapunya dengan pengisi (filler) serba guna. Selain penggunaan gam kayu pada permukaan cantuman di antara bingkai sokongan dan kepingan papan, awda juga boleh menggunakan gam silikon yang juga merupakan antara bahan yang cukup kukuh untuk mengekalkan cantuman.

    Bagi meniru cahaya daripada sinaran matahari, bahagian belakang rekaan akan dipasangkan dengan lampu LED.

    Menetapkan LED strip pada bahagian belakang rekaan memerlukan awda untuk mereka pendakap untuknya. Caranya amat mudah, dengan hanya memotong beberapa batang kayu sesuai lebar LED yang digunakan, awda hanya perlu mencantumkannya pada bahagian belakang rekaan mengelilingi permukaan papan yang berlubang.

    Sementara untuk latar belakang rekaan, papan lapis berukuran 3mm akan digunakan yang akan dipotong sesuai ukuran bingkai sokongan iaitu 20 inci x 20 inci.

    Sebelum membolehkan awda menetapkan kedudukannya, papan lapis tersebut perlu diwarnakan dengan warna biru muda seolah-olah keadaan langit cerah. Namun sebelum menyapukan cat berwarna biru, awda terlebih dahulu perlu mewarnakan permukaannya dengan warna putih.

    Setelah cat mengering, cat berwarna biru muda pula akan disapukan tetapi pada kali ini sebelum ia mengering sepenuhnya, permukaan cat akan dikesat menggunakan kain.

    Tujuan langkah ini dilakukan adalah bagi menghilangkan brush stroke atau tanda berus cat yang disapukan pada permukaan.

    Selain itu ia juga meniru bentuk awan di langit yang sebahagiannya memutih (terhasil daripada latar rekaan yang dicat warna putih). Lakukan langkah mengesat cat pada keseluruhan permukaan utama sehingga dirasakan ia tampak asli.

    Setelah cat dibiarkan mengering selama beberapa jam, kini awda boleh menempatkannya pada bahagian belakang bingkai.

    Memandangkan ukurannya lebih kecil berbanding bingkai direka, ini akan memudahkan awda untuk menetapkannya hanya menggunakan skru pada bahagian sisi (dalam) ruangan bingkai.

    Selain berfungsi untuk menetapkan kedudukan, penggunaan skru juga memudahkan awda untuk menanggalkannya jika mekanisme lampu perlu diperbaiki nanti.

    Dengan ruangan ‘langit’ berjaya direka, kini awda hanya perlu mereka burung yang cukup mudah untuk dilakukan. Kepingan aluminium yang telah tersedia tadi akan dipotong menggunakan gunting tahan lasak khusus keluli.

    Sebelum itu, reka templat dengan cara melukisnya atau mencetaknya.

    Setelah itu gunting lakaran tersebut dan lekatkan pada permukaan aluminium dan potong seberapa banyak bentuk yang dirasakan diperlukan.

    Bahagian permukaan potongan kemudiannya akan digosok menggunakan kikir besi atau kertas pasir untuk membuang permukaan yang tajam.

    Selesai melakukannya, bahagian sayap burung tersebut akan dibengkokkan bagi meniru keadaan seekor burung yang terbang untuk menjadikan rekaan lebih realistik. Untuk menempatkannya, salah satu permukaan badan burung akan dilekatkan dengan pita dua muka.

    Bagi menggantungkannya pada permukaan dinding atau sebagainya, awda hanya perlu menetapkan besi penggantung pada bahagian belakang rekaan. Menyalakan lampu LED yang telah dipasangkan, pantulan cahaya yang menerangi rekaan setentunya dapat memuaskan hati diri sendiri memandangkan ia hasil titik peluh awda!

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...