Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Dart Logistics Sdn Bhd hari ini melancarkan platform perkhidmatan tempahan teksi online pertama melalui DART App bagi memudahkan dan memberikan penyelesaian alternatif kepada keperluan pengangkutan di negara ini.
Hadir melancarkan aplikasi itu ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif Cellular, Gadong. Aplikasi itu akan dapat digunakan bermula 6 Mei dengan pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi DART App di App Store atau Google Playstore. Pengasas DART Logistics Sdn Bhd, Awang ZulAmali bin Dato Paduka Haji Idris yang juga ketua pegawai eksekutifnya dalam ucapan alu-aluan pada pelancaran itu berkata, “DART App merupakan aplikasi penyelesaian bagi keperluan pengangkutan yang membolehkan pengguna teksi negara ini menerokai Brunei dengan kadar tambang berpatutan dan selamat.”
Menurutnya lagi, ia merupakan kerjasama dengan pengusaha teksi tempatan bagi menggunakan aplikasi DART untuk meningkatkan peluang penduduk tempatan dan pelancong menggunakan teksi dengan mudah.


“Dengan anggaran tambang sebelum perjalanan tertera pada aplikasi itu, penumpang dengan mudah mengetahui kos perjalanan dan masa perjalanan yang diambil untuk tiba ke destinasi.
“Evolusi struktur pasaran dan tuntutan baru dalam pengangkutan di Brunei, telah menghasilkan DART App yang mana ia adalah kemudahan yang tidak hanya terhad untuk pengangkutan malah dihasratkan dapat meningkatkan kecekapan rutin harian kita,” tambahnya.