Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Dart Smart Shuttle Service dilancar

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dalam usaha untuk merevolusikan perkhidmatan pengangkutan awam Brunei, Dart Logistics Sdn Bhd dengan kerjasama Mitsubishi Corporation telah melancarkan Dart Smart Shuttle Service yang diadakan hari ini di 118 Residence.

    Hadir semasa pelancaran ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengurus Besar Dart Logistics Sdn Bhd, Dayang Siti Nor Syaahidah binti Haji Sahron menyatakan bahawa Dart Smart Shuttle menyediakan inovasi terkini dalam pengangkutan awam sementara melaksanakan kecerdasan buatan (AI) yang merancang laluan van dengan cekap.

    Menurut beliau, ia akan memastikan bahawa mana-mana pelanggan Smart Shuttle akan mencapai laluan paling optimum ke destinasi seterusnya, dengan bayaran tambang yang berpatutan setiap perjalanan, Dart Smart Shuttle boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang mempunyai telefon pintar.

    Dart Smart Shuttle diwujudkan dengan kerjasama Dart Logistics dan Spare Technology Solutions Inc, satu usaha sama di antara Spare Labs Inc dan Mitsubishi Corporation.

    Haji Mohammad Nazri dan TYT Maeda Toru bergambar ramai semasa merasmikan Dart Smart Shuttle Service di 118 Residence kelmarin.
    Aplikasi Dart Shuttle semasa didemostrasikan oleh salah seorang kakitangan Dart.

    “Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh oleh Mitsubishi Corporation daripada projek mereka di Jepun, kami berhasrat untuk menyelesaikan isu pengangkutan Brunei,” kata Dayang Siti Nor Syaahidah.

    “Awda boleh menemui Dart Smart Shuttle di kawasan Gadong, Kiulap dan Hospital RIPAS, di mana pengangkutan mampu bayar membolehkan pelanggan kami mengalami pengalaman tanpa tekanan dan awda tidak perlu mencari tempat letak kereta di kawasan sesak ini. Awda hanya meletakkan kereta awda berhampiran salah satu perhentian Dart Shuttle dan dapatkan bas ke kedai, kafe atau restoran kegemaran awda,” tambahnya.

    “Dart Smart Shuttle tidak mengambil laluan tertentu tetapi membawa pelanggan kami dari satu daripada lebih 24 hentian di laluan yang cekap ke hentian destinasi mereka. Semua ini terdapat dalam aplikasi Dart Shuttle yang mudah digunakan. Ia bukan sahaja memberikan pelanggan kami kemudahan untuk bergerak antara pelbagai lokasi dengan lebih pantas, tetapi juga membantu mengurangkan kesesakan di kawasan sibuk ini,” tambah Pengasas Bersama Dart, Keeran Janin.

    Dengan pelancaran rasmi itu, perkhidmatan Dart Shuttle kini boleh didapati bermula hari ini, menawarkan perkhidmatan ulang-alik di lokasi Kiulap, Gadong dan Hospital RIPAS.

    Perkhidmatan itu akan diperluaskan ke kawasan lain dalam masa terdekat termasuk ke pusat bandar.

    Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut dengan memuat turun aplikasi Dart Shuttle yang kini tersedia dari Apple App Store dan Google Play Store atau layari laman sesawang syarikat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...