DartCar jana peluang pekerjaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Perkhidmatan pesan kenderaan peribadi online pertama negara ini, DartCar berupaya menjana peluang pekerjaan fleksibel kepada penganggur dan mereka yang ingin menambah pendapatan, berdasarkan peningkatan jumlah tempahan yang diterimanya.

Pengasas Bersama DART Logistics Sdn Bhd, Awang Zul Amali bin Dato Paduka Haji Idris pada sidang media yang diadakan di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Progresif hari ini mendedahkan aplikasi DartCar yang diperkenalkan semenjak 3 Mei yang lalu, membolehkan pelanggan merancang perjalanan mereka dari mana-mana pemandu Dart, sekali gus menyediakan alternatif pengangkutan dan menambah pendapatan kepada pemandunya yang berdaftar dengan syarikat tersebut.

Menurutnya lagi, dalam tempoh lima bulan pelancaran aplikasi itu, tempahan bagi perkhidmatan DartCar meningkat 40 peratus dengan jumlah tertinggi mencapai 140 orang pelanggan dalam tempoh 24 jam. Peningkatan tempahan ini memberi impak positif ke atas ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan fleksibel untuk pemandunya mengikut jadual masing-masing.

Pemandu DartCar yang berdaftar terdiri daripada 35 peratus penganggur manakala 65 peratus lagi individu yang ingin menambahkan pendapatan mereka. Berdasarkan kajian dijalankan syarikat itu, pemandu yang rajin mampu meraih pendapatan sebanyak $1,500 dalam sebulan, tambahnya.

“Kami percaya Dart akan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan khususnya para belia. Kami berharap akan dapat meningkatkan lagi pendapatan para pemandu Dart kami dengan meraih kepercayaan daripada pelanggan di negara ini,” katanya.

Awang Zul Amali (kiri) dan Pegawai Pemasaran DART Logistics, Awang Adib Mahamud semasa sidang media di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Progresif, kelmarin.

Beliau menambah, 68 peratus pemandu DART merupakan golongan belia berumur antara 20 hingga 34 tahun dan 25 peratus daripadanya merupakan pemandu perempuan. Sehingga kini DART memiliki lebih 40 orang pemandu aktif dan lebih 18,000 pelanggan telah memuat turun aplikasi DART.

Menurutnya lagi, 77 peratus pelanggan DART berusia antara 18 hingga 34 tahun menunjukkan keinginan untuk mencuba sistem perkhidmatan pesan kenderaan peribadi online itu, menunjukkan peralihan yang penting.

Manakala dari segi peratusan pelanggan perkhidmatan itu, 84 peratus adalah daripada kalangan penduduk tempatan dan 16 peratus terdiri daripada pelancong luar seperti Malaysia, Filipina, Singapura dan Indonesia

Dengan peningkatan statistik itu, pihak DART Logistics berharap dapat menjadi sebuah syarikat yang dikenali ramai dengan menyediakan perkhidmatan penyelesaian pengangkutan di negara ini, ujar Awang ZulAmali.

Salah seorang pemandu sepenuh masa DART, Awang Jihan Masria Al-Haqam bin Haji Masri, mengatakan DART Logistics Sdn Bhd merupakan syarikat pertama yang memberi peluang pekerjaan kepadanya setelah beberapa bulan mencari pekerjaan dan beliau berasa gembira sebagai pemandu pekerjaan itu memberinya peluang untuk membantu orang ramai.

Manakala, menurut pemandu separuh masa pula, Awang Muhd Adib bin Pehin Haji Sulaiman menjelaskan bahawa sebagai pemandu DART, ia begitu mudah kerana dapat membahagikan masanya di samping mengendalikan perniagaannya sendiri.