Darurat bukan rampasan kuasa tentera, kerajaan seperti biasa

KUALA LUMPUR, 12 JAN – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah sepanjang tempoh itu kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa termasuk dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata perintah berkurung tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat dan jentera pentadbiran serta perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi. Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak  akan dilaksanakan,“ katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan hari ini. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.

“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID19.

“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan peraturan,” katanya. – Bernama

Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan. Sebarang pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat, kata Muhyiddin. – Bernama