SAN FRANCISCO, 26 Feb – Bandar di Pantai Barat Amerika Syarikat (AS) sedang bersiap sedia untuk menghadapi kesan larangan China ke atas bahan buangan import yang akan berkuat kuasa sepenuhnya 1 Mac depan.
Bandar San Jose, California, sedang mencari kaedah untuk menggalakkan penduduk dan perniagaan untuk menghasilkan kurang bahan buangan sementara berunding semula dengan kontraktor pemprosesan semula bahan buangan.
Dasar baharu itu yang dipanggil ‘Pedang Negara’, “dijangka mengubah syarat-syarat perjanjian berkenaan dengan kontraktor pada masa ini,”, menurut pengarah Jabatan Perkhidmatan Alam Sekitar San Jose, Kerrie Romanow dalam satu laporan terbaharu kepada majlis perbandaran.
Bandar itu sedang memikirkan mengenai kempen khidmat masyarakat untuk mengurangkan bahan buang kertas dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kertas campuran, menurut jabatan.
“Pedang Negara bukan hanya satu isu tempatan, ia adalah isu global. Kami meminta pelanggan supaya menumpukan lebih perhatian kepada pengasingan,” beritahu jurucakap untuk Recology, syarikat pengurusan bahan buangan di San Francisco, Robert Reed kepada Xinhua semalam.
Sementara menambah khidmat kepada pelanggan, syarikat berkenaan baharu sahaja mempertingkatkan kemudahan kitaran semula dan memperuntukkan tambahan sebanyak AS$3 juta dalam pelaburan teknologi pengasingan yang terkini tahun ini.
Bandar Seattle juga menggalakkan para pelanggan supaya menumpukan perhatian ke atas kitaran semula yang betul. Di San Francisco, syarikat Recology telah mendidik orang awam supaya menjaga barang-barang lama yang dibuang menerusi satu program kesenian.
China adalah negara pengimport terbesar barang-barang kitaran semula AS. Pasaran kitaran semula bahan buangan di Amerika Syarikat dijangka terjejas akibat kawalan yang ketat ke atas import bahan buangan oleh China.
Pada 2016, AS mengeksport ke China sekerap besi, kertas dan plastik bernilai AS$5.6 bilion, menurut Institut Industri Kitaran Semula Sekerap, persatuan perniagaan bukan kerajaan di AS yang mewakili lebih daripada 1,600 syarikat swasta dan awam yang berkepentingan. – Xinhua