Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Perhubungan dengan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan menguatkuasakan dasar pembatalan pendaftaran (deregistration) bermula 6 April 2017 ini.
Sebagai langkah awal menguatkuasakan dasar tersebut, JPD dengan agensi lain akan melancarkan kempen kebersihan kereta buruk di negara ini, ujar Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit mengenai kenderaan yang terbiar di merata tempat.
Mengulas lanjut perkara itu pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini, Yang Berhormat Dato berkata, kementeriannya dan JPD, dalam sedikit masa lagi akan menguatkuasakan dasar dan peraturan pembatalan pendaftaran dan penghapusan kenderaan yang tidak aktif dan tidak layak dari segi keselamatan.
Proses ini dikenali dengan deregistration of vehicle di mana pada tahun 2015 saja, sebanyak 387, 817 buah kenderaan yang didaftarkan dalam sistem JPD iaitu Sistem Pengangkutan Darat.
Daripada jumlah tersebut, tambah Yang Berhormat Dato, hanya 306,510 yang dilesenkan iaitu yang aktif di atas jalan raya.


Trend ini adalah konsisten dengan data-data pada tahun sebelumnya yang mana lebih kurang 77,000 buah kenderaan yang masih berdaftar di sistem berkenaan tapi tidak lagi dilesenkan dan ini adalah disebabkan sama ada gagal lesen kenderaan atau tidak membawa kenderaan untuk pemeriksaan.
“Melalui siasatan jabatan ini dengan konsultasi pihak berkenaan mendapati sebahagian dari kenderaan itu tidak lagi wujud sama ada ia telah dihapuskan atau terbiar di kawasan rumah, bangunan komersial, bengkel, di tepi jalan raya dan hutan tapi tidak dibatalkan pendaftarannya,” jelas beliau.
Kementerian Perhubungan dan JPD, jelasnya sedang meneliti amalan yang dibuat di luar negara untuk mengatasi isu kereta-kereta yang terbiar ini di mana terdapat sebuah negara yang memasukan harga pembelian kenderaan itu termasuk dengan harga pembuangan kereta terus.
Amalan ini bertujuan untuk tidak mendatangkan masalah bagi negara di mana untuk memastikan kenderaan yang tidak digunakan terbiar di merata tempat.
Beliau seterusnya menambah, setiap yang mempunyai kereta yang sudah tidak digunakan lagi adalah diingatkan untuk membuang kereta tersebut di tempat yang bersesuaian khususnya tempat pembuangan besi buruk untuk dimusnahkan.
Menurutnya, satu kenyataan akan dikeluarkan untuk mengingatkan orang ramai untuk memastikan kereta mereka yang tidak lagi terpakai iaitu kereta terbiar di tempat awam akan diambil dan dibuang di tempat pemusnahan dan semua perbelanjaan untuk pembuangan tersebut akan dikenakan kepada pemilik kereta tersebut.
“Usaha ini akan dilancarkan pada awal April nanti dan akan dimaklumkan kepada orang ramai untuk pemberitahuan awal,” tambahnya.