Dasar Pengasingan di Rumah diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dasar Pengasingan di Rumah (Home Isolation Policy) bagi pesakit-pesakit COVID-19 telah diperkenalkan bermula hari ini.

Kementerian Kesihatan memaklumkannya setelah mengambil kira situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam khususnya pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 berdasarkan hasil dan garis panduan saintifik terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan amalan pengurusan pesakit di beberapa buah negara.

Dasar tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Inti pati dalam dasar ini ialah untuk mengarahkan pesakit-pesakit yang dikenal pasti tergolong di dalam kategori 1 iaitu yang tidak mempunyai sebarang simptom dan Kategori 2a iaitu pesakit yang hanya mempunyai simptom ringan untuk membuat pengasingan diri di rumah sahaja, iaitu selepas mendapatkan penilaian dan pengesahan dari Kementerian Kesihatan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Setiap pesakit COVID-19 yang diurus di bawah dasar ini akan dimestikan menjalani perkara-perkara berikut iaitu dipantau oleh Pasukan Pengurusan Pesakit, Kementerian Kesihatan di sepanjang pengasingan diri selama 14 hari, diwajibkan memakai gelang tangan berwarna merah bagi tujuan identifikasi pesakit COVID-19 sehingga tamat tempoh pengasingan dan mematuhi semua arahan pihak Kementerian Kesihatan dan memastikan mudah dihubungi bila-bila masa.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa sidang media, kelmarin.

“Pesakit yang gagal atau ingkar dalam mematuhi Dasar Pengasingan di Rumah ini boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000, sebagaimana peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204),” tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut Yang Berhormat Dato, Dasar Pengasingan di Rumah tersebut diperkenalkan setelah penelitian terperinci dilaksanakan bagi menilai kesesuaian perlaksanaan dasar itu di Negara Brunei Darussalam.

“Dapatan-dapatan kajian saintifik, garis panduan daripada WHO dan amalan-amalan serupa yang telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa buah negara telah memberikan keyakinan kepada pihak kerajaan bahawa dasar ini dapat dilaksanakan dengan selamat di samping memberikan keselesaan kepada pesakit-pesakit untuk terus berada di rumah di sepanjang tempoh pengasingan,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, tekan beliau, mana-mana pesakit yang merasakan simptom mereka menjadi lebih teruk semasa berada dalam pengasingan di rumah hendaklah menghubungi Talian Kecemasan Ambulans 991 dengan segera supaya mereka dapat diberikan rawatan secepat mungkin.

Kebenaran untuk melakukan pengasingan diri di kediaman atau rumah persendirian ini, katanya, menunjukkan kebanyakan orang di negara yang ini patuh akan perintah dan peraturan yang diberikan di samping bagi memberi keselesaan kepada pesakit.

Walaupun pengasingan yang dilakukan di tempat atau pusat pengasingan yang khas adalah lebih mudah untuk dipantau dengan ketat berbanding pengasingan yang dilakukan di kediaman pesakit yang positif COVID-19, beliau berkata, tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani pengasingan diri di rumah mereka di mana rumah pesakit itu hendaklah mempunyai bilik atau tempat khas bagi mengasingkan dirinya.

Bagi pesakit yang tidak mempunyai tempat yang sesuai di kediaman atau rumahnya untuk menjalani pengasingan diri, mereka akan dibawa ke pusat-pusat pengasingan yang disediakan oleh kerajaan.