Dasar pengasingan diri kukuh kawalan 2019-nCoV

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Kementerian Kesihatan memperkukuhkan lagi kawalan penularan penyakit koronavirus daripada memasuki negara ini dengan memperkenalkan dasar pengasingan diri (self-isolation) kepada individu-individu yang telah kembali atau akan kembali ke Negara Brunei Darussalam dari Republik Rakyat China.

Langkah itu diperkenalkan berikutan situasi koronavirus (2019-nCoV) yang sedang melanda beberapa buah kawasan di China dan negara-negara lain di seluruh dunia.

Menurut kenyataan dari Kementerian Kesihatan, hari ini, dasar berkenaan tertakluk kepada mereka yang berada di China dalam masa 14 hari sebelum tiba di negara ini dan dibenarkan masuk ke negara ini akan dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri selama 14 hari.

Sementara bagi rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di China (tanpa mengira wilayah) adalah dibenarkan untuk masuk kembali ke Brunei, namun mereka dikehendaki menjalani pengasingan diri selama 14 hari.

Dalam pada itu, mana-mana rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang sakit dan sedang berada di China dinasihatkan untuk menangguhkan kepulangan mereka ke negara ini dan mendapatkan bantuan pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China untuk nasihat selanjutnya.

Manakala apabila tiba di negara ini, mereka dikehendaki melaporkan diri ke kaunter Kesihatan Pelabuhan dan memaklumkan kakitangan bertugas mengenai kepulangan mereka dari Republik Rakyat China.

Borang akan diberikan untuk diisikan dan maklumat pengasingan diri untuk membantu individu tersebut semasa tempoh pengasingan akan diberikan.

Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak berkunjung ke China dan menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke republik itu bagi mengawal kemasukan penyakit berkenaan ke negara ini yang mana telah diketahui dapat menjangkiti manusia ke manusia.

Individu-individu yang memenuhi kriteria pengasingan diri adalah diwajibkan, di bawah Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204, untuk menahan diri daripada sebarang kegiatan-kegiatan awam dan memantau kesihatan mereka selama 14 hari dari tarikh kedatangan kembali ke Brunei. Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai untuk tidak merasa cemas atau panik mengenai situasi ini kerana dasar ini diperkenalkan untuk memastikan kesihatan serta kesejahteraan individu-individu terjejas dan masyarakat umum akan dilindungi.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan juga menggesa orang awam, para majikan dan pihak-pihak berkepentingan lain untuk memberikan kerjasama bagi perlaksanaan dasar ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai dasar pengasingan diri ini di laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit melalui e-mel di [email protected] atau melalui telefon
di talian 2380316 atau 2380318.