Data 4.5 juta penumpang Air India dicuri

MUMBAI, 23 MEI – Penggodam telah mencuri data kira-kira 4.5 juta penumpang Air India di seluruh dunia dalam pencabulan terbaharu yang dilaporkan oleh sebuah syarikat penerbangan.

Nama, nombor kad kredit dan maklumat pasport adalah antara data yang dicuri, kata Air India dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Syarikat penerbangan milik kerajaan itu berkata ia sedang ‘menjejaki server yang terjejas’ dan menggunakan pakar luar untuk menjamin keselamatan data serta bekerjasama dengan syarikat kad kredit.

“Kami amat menyesali kesulitan yang timbul dan menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh penumpang kami,” kata syarikat penerbangan itu.

Beberapa syarikat penerbangan telah dibelenggu pencabulan data dalam beberapa tahun ini.

British Airways telah didenda AS$28 juta oleh pemerhati Britain pada tahun lalu selepas butir-butir 40,000 penum-pang hilang dalam serangan siber pada 2018.

Air India mengumumkan pada Mac ia telah dimaklumkan pada Februari oleh syarikat pemprosesan data, SITA PSS mengenai satu serangan siber.

Pencabulan membabitkan data peribadi yang didaftar di antara Ogos 2011 dan Februari 2021, kata syarikat penerbangan.

SITA, yang menyediakan sokongan IT kepada sebahagian besar industri penerbangan, berkata pada masa itu bahawa ia telah menjadi sasaran ‘serangan amat canggih’ yang telah menjejaskan sejumlah syarikat penerbangan. – AFP

Gambar fail menunjukkan kapal terbang Air India dilihat di latar belakang kawasan setinggan bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Mumbai. Syarikat berkata data peribadi sejumlah penumpang telah dicuri dalam serangan siber. – AP