Data BruHealth untuk tujuan kesan kontak sahaja

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Dalam konteks pengertian ‘maklumat sulit’ ketika dunia sedang berdepan dengan penularan pandemik koronavirus, privasi seseorang bagi mengongsikan jejak mereka dilihat sangat penting bagi kemaslahatan bersama bagi mengekang koronavirus.

“Saya rasa sesetengah orang akan merasakan ianya adalah pelanggaran privasi, dan sesetengah lagi berpendapat ianya adalah usaha untuk menangani COVID-19 dan sememangnya sesuatu yang perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada masyarakat.

“Perkara ini adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang itu memikirkannya, sama ada mahu melindunginya dengan tidak mengongsikannya. Tetapi perlu diingat apabila terjadinya penularan virus dalam masyarakat, pengesanan kontak setentunya sukar untuk dilakukan yang akhirnya akan membawa masalah kepada masyarakat.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berpendapat demikan semasa sesi soal jawab mengenai maklumat sulit yang disimpan di dalam server aplikasi BruHealth kerana terdapatnya kekhuatiran jika ianya disalahgunakan.

“Persoalannya ialah bagaimana anda merespons isu ini. Namun demikian, kami juga mendengar komen seperti ini mengenai privasi data ini.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berpendapat bahawa isu pelanggaran privasi data tidak timbul dalam penggunaan BruHealth kerana data berkenaan adalah bagi kegunaan pengesanan kontak sahaja jika berlakunya sebarang jangkitan virus.

Menurut Yang Berhormat Dato sebenarnya mereka sedang meneroka teknologi yang berbeza pada masa ini, daripada menggunakan GPS misalnya untuk mencuba mengesan pergerakan semua orang, mereka mungkin dapat menggunakan teknologi Bluetooth, di mana mereka akan menggunakannya jika perlu sahaja.

“Jadi kami tidak selalu mengetahui keberadaan mereka tetapi apabila berlakunya wabak atau seseorang yang positif di dalam sesebuah premis, barulah kami berusaha untuk mengetahui siapa yang ada di sana agar kami dapat mengesannya dan memberitahu mereka,” jelas beliau.

“Data tersebut buat masa ini disimpan dalam server kami, dan tiada penggunaan lain baginya.

“Tidak ada gunanya untuk mengetahui jam berapa seseorang individu itu masuk atau keluar dari sesebuah restoran selain untuk mengesannya bagi tujuan memerangi COVID-19,” tegasnya.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa dalam jangka masa tertentu, data tersebut akan menjadi tidak berguna lagi dan mereka memang akan menghapusnya.

“Secara polisinya ia akan mengambil masa satu tahun untuk menghapusnya. Kami akan menilai untuk melihat sama ada jika data ini tidak benar-benar diperlukan untuk menyimpannya hingga satu tahun, mungkin kami akan menghapuskannya lebih awal,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Tetapi, sekali lagi, pada pandangan saya, ini sebenarnya bukanlah maklumat yang sensitif seperti jam berapa anda pergi ke masjid, atau adakah anda pergi ke masjid dan sebagainya.

“Ini bukanlah data yang dapat kami gunakan untuk alasan lain,” tekan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.