Data peranti digunakan jejaki kes kluster COVID-19

SEOUL, 12 MEI – Pihak berkuasa Korea Selatan berkata hari ini mereka menggunakan data telefon bimbit untuk menjejaki pengunjung kelab malam Seoul tatkala mereka berusaha mengatasi kes kluster koronavirus, berjanji akan merahsiakan mereka yang diuji disebabkan stigma yang membabitkan golongan homoseksual.

Negara itu dijadikan model global dalam cara mengawal virus, tetapi pertambahan kes baharu, didorong oleh kes kluster di tempat-tempat di daerah Itaewon, Seoul, telah memaksa pihak berkuasa menangguhkan pembukaan semula sekolah yang dirancang pada minggu ini.

Kerajaan bandar Seoul memperoleh senarai 10,905 orang yang mengunjungi daerah itu menerusi data yang diberikan oleh operator peranti dan telah menghantar pesanan teks meminta mereka supaya menjalani ujian, kata datuk bandar Seoul Park Won-soon.

Ibu Pejabat Pengurusan Bencana Korea berkata hampir 2,000 orang yang dipercayai telah mengunjungi kelab tidak dapat dihubungi sekarang, dan ribuan polis akan dikerah untuk menjejaki mereka.

“Agensi Polis Negara telah menubuhkan sistem operasi dengan 8,559 pegawai ditugaskan untuk menjejaki mereka yang tidak dikenal pasti menerusi maklumat kad kredit atau data yang diberikan oleh operator peranti,” kata Yoon Tae-ho, pengarah KDMH.

Lebih daripada 7,000 orang yang telah mengunjungi kawasan itu dalam tempoh dua minggu lalu telah diuji, kata datuk bandar Park, yang mengumumkan semalam denda 2 juta won akan dikenakan kepada mereka yang mengelak ujian. – AFP