Data tenaga kerja Jepun ‘salah’ sejak 2004

TOKYO, 10 Jan – Jepun mungkin telah membayar dengan kadar rendah berbilion yen dalam faedah pengangguran selepas muncul kenyataan bahawa kerajaan itu telah mengutip data pasaran tenaga kerja secara salah selama 15 tahun.

Pegawai sepatutnya mengumpulkan data dari semua firma dengan 500 atau lebih pekerja tetapi di Tokyo, hanya kira-kira satu pertiga daripada 1,400 firma sedemikian yang di kaji selidik, menurut seorang penjawat awam di kementerian buruh.

Menteri buruh, Takumi Nemoto telah mengarahkan siasatan menyeluruh mengenai perkara tersebut tetapi mengakui dia menerima laporan tentang masalah tersebut pada 20 Disember lalu.

Ini bermakna kementerian menerbitkan data yang mereka tahu mempunyai masalah pensampelan, melemahkan keyakinan terhadap data daripada pengeluar ekonomi ketiga terbesar di dunia itu. Menurut penyiar awam NHK, masalah pengambilan data itu dijangka sudah berlaku seawal tahun 2004.

Seorang pegawai kementerian bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan memberitahu AFP bahawa masalah itu boleh menyebabkan kurang bayar faedah pengangguran dan faedah insurans kecederaan industri.

Dan memetik sumber kerajaan, agensi tempatan Kyodo News berkata bajet itu mungkin perlu dilakukan semula jika manfaat dibayar balik secara retroaktif.

Kaji selidik tenaga kerja secara bulanan itu berfungsi sebagai penunjuk utama keadaan pekerjaan negara, dan diperhatikan dengan teliti oleh kerajaan dan Bank Jepun sebagai petunjuk untuk keputusan dasar ekonomi mereka. – AFP