Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Data tepat, cepat pengukur keberkesanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan pentingnya data yang tepat, cepat dan boleh dipercayai dalam apa jua perancangan yang dibuat sama ada oleh pihak kerajaan, sektor swasta atau individu-individu dalam masyarakat umumnya.

    “Perancangan yang baik perlulah mempunyai asas dengan berpandukan kepada data ataupun fakta. Terutamanya, dalam suasana ancaman wabak COVID-19 ini, maklumat dan data perlu disampaikan dan dianalisis dengan seberapa pantas yang boleh bagi mengelakkan masalah dan kemudaratan yang lebih besar,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Statistik Sedunia 2020 dan Pelancaran Portal Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Apa jua perancangan, dasar dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, tidak lain tidak bukan ia adalah disasarkan untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk negara.

    “Statistik seperti pertumbuhan KDNK, aliran dan stok pelaburan langsung asing, pekerjaan khususnya yang diisikan oleh anak-anak tempatan, ciri-ciri tenaga kerja, gaji purata, kadar pengangguran, profil pencari kerja tempatan, kadar pemilikan rumah, kadar celik IT, tahap pendidikan, jumlah perbelanjaan keluarga, tahap pendapatan dan banyak lagi akan dijadikan sebagai penunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur keberkesanan atau keberhasilan sesuatu dasar, program atau projek yang dilaksanakan oleh kerajaan, iaitu sama ada telah mencapai sasaran yang ditetapkan atau sebaliknya,” jelasnya lagi.

    “Bagi mendapat maklumat lengkap dan terkini penduduk dan perumahan di negara ini, Insya-Allah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan mengendalikan Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) tahun hadapan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika merasmikan Sambutan Hari Statistik Sedunia 2020 dan Pelancaran Portal BPP 2021. – Gambar oleh James Kon

    BPP merupakan projek statistik berskala besar yang dilaksanakan sekali setiap 10 tahun bagi memberikan tanda aras baharu mengenai profil penduduk dan perumahan.

    Ini akan membantu pihak kerajaan merancang dan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan awam seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, penggunaan tanah dan pengangkutan.

    Hasil dari BPP 2021 akan dapat memastikan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan benar-benar meliputi kumpulan sasaran yang dimaksudkan dan tidak ada golongan yang tertinggal.

    Selaras dengan perkembangan teknologi digital, JPES akan memperkenalkan kaedah baharu dalam pengumpulan data banci yang dikenali sebagai e-Census yang membolehkan orang ramai mengisi sendiri maklumat masing-masing secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana jua dalam tempoh yang ditetapkan.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa dengan mengambil kira keperluan data yang semakin bertambah dan dalam mendukung usaha penyejajaran pembangunan negara, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pandu Koordinasi Data Kebangsaan, yang dipengerusikan oleh timbalan menteri kewangan dan ekonomi (ekonomi) dengan ahlinya terdiri daripada setiausaha tetap-setiausaha tetap dari kementerian berkenaan.

    Jawatankuasa pandu itu ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan satu mekanisme penyelarasan di peringkat kebangsaan bagi meningkatkan keberkesanan penyelarasan data kebangsaan melalui pendekatan seluruh negara dan berorientasikan dapatan.

    Jawatankuasa pandu itu juga berperanan selaku penasihat dalam memberi panduan dan hala tuju dalam perancangan data di peringkat kebangsaan, di samping memantapkan kerjasama dan kolaborasi di antara agensi-agensi sumber data ke arah menghasilkan petunjuk-petunjuk statistik utama bagi kegunaan negara dan antarabangsa.

    Dalam hal itu, beliau berharap supaya Jawatankuasa Pandu Koordinasi Data Kebangsaan akan dapat memudah cara perkongsian data antara pelbagai agensi, termasuk menangani aspek-aspek perundangan mengenainya.

    “Dengan adanya perkongsian data, sudah setentunya akan dapat mengurangkan kerja yang bertindan-tindih di mana berbagai-bagai agensi mengumpulkan data yang sama, dan ini seterusnya akan dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam pengendalian pengumpulan data tersebut.

    “Walau bagaimanapun, perlu juga diingat supaya data privacy and confidentiality adalah dititikberatkan dan sentiasa dipelihara,” ujarnya. Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menyeru agensi-agensi kerajaan memberikan tumpuan dalam peningkatan kemahiran bagi pegawai-pegawai dalam Data Analytics dan untuk memanfaatkan statistik yang berkaitan dalam penyelidikan dan pembangunan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda