Dataran Labuan lokasi pilihan berbuka puasa

LABUAN, 20 Mei – Dataran Labuan yang kebiasaannya menjadi lokasi perlawanan bola sepak menjadi antara tempat pilihan umat Islam berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Bermula minggu pertama Ramadan, padang bola dataran itu dikunjungi lebih 500 orang setiap hari terdiri daripada keluarga, golongan muda dan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) untuk berbuka puasa beramai-ramai.

Bazar Ramadan Labuan Walk yang terletak kira-kira 15 meter daripada Dataran Labuan memudahkan orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga.

Dataran Labuan juga menjadi tumpuan warga kerja di kawasan sekitar yang tidak berkesempatan pulang ke rumah berbuka puasa pada hari bekerja berikutan kesesakan lalu lintas.

Pelajar tahun akhir UMSKAL, Qistina Nasruddin, 21, berkata lebih meriah berbuka puasa beramai-ramai bersama rakan yang sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan pada keluarga di Semenanjung.

“Kami akan mula keluar kampus pada  5 petang dan akan terus ke bazar untuk membeli juadah dan akan beramai-ramai duduk bersila di Dataran Labuan untuk berbuka puasa bersama,” katanya  ketika ditemui di Dataran Labuan petang semalam.

Sementara itu, Yussof Arif, 25, berkata selepas berbuka puasa dengan enam rakan lain, mereka akan terus ke Masjid An Nur untuk solat Maghrib, Isyak dan seterusnya Tarawih.

“Kami berbuka puasa hari-hari di sini sejak seminggu lepas, selepas kami merasakan ianya seronok dan mendorong kami terus sama ke masjid,” katanya.

Berikutan Dataran Labuan ini telah menjadi tumpuan untuk berbuka puasa, pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan menyediakan tong-tong sampah dan menghidupkan lampu limpah untuk menerangi kawasan dataran itu. – Bernama