IPOH, 24 MEI – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berpendapat satu perbincangan secara khusus perlu dibuat jika usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman serius untuk mengambil alih Perak FC dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata perbincangan berkenaan terarah kepada hala tuju pasukan selain turut membabitkan isu berbangkit yang melanda Perak FC.
“Setakat ini, beliau atau mana-mana pihak yang mewakili beliau sendiri belum lagi menghubungi atau menghantar sebarang permohonan rasmi membincangkan hal ini dengan pihak PAFA. Dengan pengurusan Perak FC kami tidak tahu (ada perbincangan).
“Di pihak PAFA bukan setakat beliau malah, mana-mana pihak lain yang berminat untuk ambil alih Perak FC pun dialu-alukan. Kita boleh duduk berbincang tentang perkara ini supaya ada kata putus yang memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – Bernama