Datuk bandar Bogota lanjutkan sekatan

BOGOTA, 22 JULAI – Datuk bandar Bogota berkata beliau akan melanjutkan sekatan koronavirus mulai esok untuk merangkumi lima juta penduduk di ibu negara Colombia selepas kerajaan enggan meluluskan penutupan sepenuhnya.

Sejak 13 Julai, dengan krisis kesihatan semakin teruk, bandar dengan lapan juta penduduk telah dikenakan beberapa siri sekatan secara bergilir berdasarkan kumpulan kawasan, merangkumi 2.5 juta penduduk pada satu masa.

Datuk bandar Bogota, Claudia Lopez semalam berkata beliau akan melanjutkan langkah tersebut supaya sekatan bertindih untuk merangkumi lebih ramai penduduk bermula dari 23 Julai sehingga 14 Ogos.

“Kerajaan bersikap tegas bahawa ia tidak akan membenarkan kuarantin di Bogota, dan opsyen lain adalah kami akan meneruskan kuarantin mengikut kawasan, tetapi kami akan mempercepatkan jadual,” kata beliau pada sidang akhbar maya.

Di tengah, selatan dan barat daya bandar, ‘hampir lima juta penduduk akan dikuarantin selama empat hari berturut-turut’ bermula Khamis hingga Ahad, jelas beliau.

Lokasi lain seterusnya akan ditutup demi mempunyai ‘kuarantin yang lebih singkat tetapi lebih intensif’ daripada dijangka sebelumnya.

Langkah tersebut kini akan berkuat kuasa sehingga 14 Ogos, dan bukannya akhir bulan ini seperti yang dirancang. – AFP

Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung memberi makan burung merpati di Dataran Bolivar di Bogota, Colombia pada 21 Julai 2020 di tengah pandemik koronavirus baharu. – AP