Datuk bandar Johannesburg maut dalam kemalangan jalan

JOHANNESBURG, 19 SEPT – Datuk bandar Johannesburg terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya ketika beliau kembali dari berkempen dengan presiden Afrika Selatan semalam, hanya sebulan selepas dipilih, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Jolidee Matongo, 46, sedang dalam perjalanan pulang dari kempen pendaftaran pengundi di Soweto sebelum pilihan raya tempatan apabila kemalangan berlaku.

“Adalah sukar untuk membayangkan tragedi ini, berdasarkan semangat yang ditunjukkan Datuk Bandar Matongo ketika berinteraksi dengan saya dan penduduk Soweto sejurus sebelum kematiannya,” kata Presiden Cyril Ramaphosa di Twitter.

“Tidak ada apa-apa yang dapat menyediakan kami untuk menghadapi kehilangan ini.”

Pemimpin sebelum Matongo meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 pada Julai dan Matongo dipilih pada 10 Ogos. Perdana menteri wilayah Gauteng David Makhura, yang juga berada di kempen pendaftaran pengundi Soweto, berkata berita itu telah mengakibatkan dia ‘terkejut besar.’

“Matongo menjalankan tugasnya dengan tenang dan komited untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan Johannesburg,” tambahnya.

Pejabat Matongo berkata butir-butir lanjut mengenai kemalangan itu akan dikeluarkan ‘tidak lama lagi.’ – AFP