Datuk Maimunah dilantik semula, terajui PBB-Habitat

NEW YORK, 21 JAN – Datuk Maimunah Mohd Sharif dari Malaysia dipilih semula oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (PBB-Habitat) untuk tempoh dua tahun, lapor Xinhua.

Tempoh perkhidmatan beliau untuk penggal empat tahun awalnya berakhir Rabu lalu. Penggal dua tahun baharunya bermula pada 20 Januari 2022 dan berakhir pada 19 Januari 2024.

Perhimpunan Agung kelmarin bertindak atas saranan Setiausaha Agung PBB, António Guterres. Pemilihan semula Maimunah diluluskan sebulat suara tanpa undian.

Sebelum menjadi ketua UN-Habitat, Maimunah merupakan Datuk Bandar Pulau Pinang di Malaysia. Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Sejak menyertai PBB pada Januari 2018, Maimunah berjaya meletakkan semula UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran lestari. Beliau ialah pengerusi bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Masa Depan Bandar dan pengerusi bersama Gabungan 2030 Kerajaan Tempatan serta memperjuangkan perspektif bandar dalam Forum Ekonomi Dunia, kata pejabat akhbar Setiausaha Agung PBB.

Maimunah, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam kajian perancangan bandar dari Institut Sains dan Teknologi Universiti Wales dan Ijazah Sarjana dalam pengajian perancangan dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak perempuan. – Bernama