SPESIES Caladium Bicolor dari keluarga tumbuhan Araceae ini asalnya sejenis keladi yang tumbuh meliar di kebun getah atau kelapa sawit atau belukar di kampung.
Namun begitu ia telah lama ditanam sebagai tanaman hiasan sejak zaman dahulu lagi kerana berdaun cantik dengan corak yang menarik sekali.
Seperkara yang harus diingat, penanam harus sentiasa meningkatkan tahap pengawasan diri ketika menanamnya kerana ia juga mempunyai getah yang beracun.
Tarikan pokok liar ini terletak pada daunnya yang berbentuk anak panah berwarna hijau tua dan dipenuhi dengan corak bintik-bintik berwarna putih dan merah.
Begitulah terbitnya perkataan ‘Bicolor’ pada nama spesiesnya yang bermaksud dua warna.


Pembiakan dan penanaman
Pada dasarnya, Caladium Bicolor cukup senang untuk dibiakkan dengan menggunakan butir ubi yang banyak tumbuh di sekeliling ubi pokok induknya yang telah matang.
Setiap butir ubi itu akan tumbuh menjadi pokok yang baru. Untuk penanamannya mulakan dengan memisahkan butir ubi dari induknya.
Tanam terus dalam medium tanaman kekalnya. Ubinya hanya perlu ditanam sedalam kira-kira 2.5 sentimeter sahaja daripada permukaan medium tanamannya bagi memastikan sistem pengakarannya terbentuk dengan baik untuk pertumbuhan yang lebih subur.
Kemudian siram medium tanamannya dan jangan biarkannya kering kerana ini boleh membantutkan pertumbuhan akar anak pokok yang baru.
Letakkan bekas tanaman di tempat teduh serta sejuk seperti di bilik mandi bagi menyediakan persekitaran yang sesuai untuk mempercepatkan pertumbuhan akar anak pokok yang baru.
Selang beberapa minggu tunas serta daun anak pokok yang baru akan mula tumbuh.
Pokok ini sesuai ditanam dalam campuran medium tanah yang kaya dengan humus.
Medium tanaman sesuai untuk pokok berpasu adalah pada kiraan dalam nisbah 3:2:1 yang merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.
Penjagaan
Dedahkan pokok Caladium Bicolor kepada cahaya yang banyak untuk mendapatkan corak daunnya yang cantik.
Siram medium tanaman sebanyak dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan kelembapannya.
Sembur daunnya untuk mengekalkan persekitaran yang agak lembap. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan dan elakkan air daripada bertakung dalam medium tanamannya kerana ini boleh menyebabkan pereputan pada bahagian bawah perdu pokok atau ubinya.
Pokok ini boleh diberikan sedikit pembajaan dengan menggunakan baja organik seperti najis ayam dan juga baja kimia khas untuk pokok berdaun iaitu berwarna hijau. Namun begitu elakkan daripada menggunakan baja biji yang boleh melecurkan perdu atau daunnya jika terkena.
Walaupun cantik dan menarik, pokok ini mengeluarkan getah yang gatal dan beracun jika bahagian pokoknya seperti batang daun dan ubinya dipotong.
Oleh itu pamerkannya di kawasan yang jauh dari tempat lalu lalang orang ramai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Jika terkena getahnya segera basuh dengan air.
Idea pameran
Pokok keladi ini sangat menarik ditanam dalam pasu cantik sebagai pokok spesimen untuk pameran daunnya yang cantik lagi menarik.
Ia juga sesuai ditanam bersama dengan pelbagai pokok keladi lain untuk pameran satu kumpulan pokok dalam pasu besar.
Malah, ia turut sesuai ditanam di atas tanah untuk hiasan landskap ala tropika dan sebagainya.