BERLIN, 5 APRIL – Pemain sayap berasal Kanada, Alphonso Davies bersedia untuk kembali bersama Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara, pusingan pertama di Villarreal pada Rabu selepas masalah jantung yang dihidapinya berkaitan COVID.
Pemain berusia 21 tahun itu kali terakhir bermain pada bulan Disember setelah disahkan menghidap miokarditis, keradangan jantung, selepas disahkan positif koronavirus pada Januari lalu.
“Phonzie (Davies) akan kembali, pemeriksaan perubatan sangat positif sehingga dia boleh bermain dari awal permainan,” kata jurulatih Bayern, Juliann Nagelsmann pada hari ini.
Jika dia bermain, Davies akan kembali lebih awal daripada yang dijadualkan.
Nagelsmann pada asalnya telah menjangkakan pemain pertahanan sayap kiri dari Kanada itu untuk kembali pada perlawanan kedua menentang Vilarreal di Munich pada 12 April nanti.
Davies sudah pun memulakan minggu ini dengan baik selepas diundi sebagai pemain terbaik CONCACAF.
Pemain berusia 21 tahun tersebut akan memainkan peranan penting dalam membantu Kanada untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun ini di Qatar nanti.
Ini akan menjadi penampilan Piala Dunia pertama bagi Kanada sejak tahun 1986.
Salah satu video Davies di kediamannya di Munich menyaksikan Kanada menewaskan Jamaica pada minggu lalu menjadi viral kerana sambutannya yang penuh emosi apabila kemenangan mengesahkan tempat untuk Kanada di Qatar 2022. – AFP