Davis yakin kemampuan Lakers

LOS ANGELES, 14 JULAI – Anthony Davis berkata Los Angeles Lakers berkemampuan untuk mencabar bagi kejuaraan NBA serta-merta musim depan ketika enam kali All-Star itu secara rasminya diperkenalkan oleh pertubuhan tersebut.

Bintang NBA berusia 26 tahun itu dijangka mencipta gandingan hebat bersama LeBron James selepas menyertai Lakers susulan satu pertukaran luar biasa dengan New Orleans Pelicans bulan lepas.

Lakers, yang terlepas saingan playoff buat kali keenam berturut-turut musim lepas meskipun dengan ketibaan LeBron James pada 2018, akan membariskan pemain-pemain berwajah baharu bagi kempen 2019, yang juga termasuk penandatanganan baharu Danny Green dan DeMarcus Cousins.

Dengan Lakers juga akan memulakan kempen dengan ketua jurulatih baharu, Frank Vogel, terdapat kemungkinan skuad itu akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Tetapi Davis menegaskan bahawa Lakers mampu memberikan kesan serta-merta apabila mereka mahu menjadikan pasukan itu sebagai kuasa NBA sekali lagi.

“Saya akan meletakkan skuad ini menentang sesiapa sahaja. Dalam siri tujuh perlawanan, saya fikir kami akan meraih kejayaan,” kata Davis pada satu sidang media.

Pengurus besar Lakers, Rob Pelinka, memberitahu wartawan bahawa penyambaran Davis ke pasukan itu mungkin menjadi ‘perubahan bersejarah’ buat francais itu, dan memuji kemahiran versatil pemain baharunya itu.

“Tiada apa yang dia tidak dapat lakukan. Dia boleh membuat lontaran, menggerakkan permainan, bertahan dan mengawal bola. Dedikasinya juga tiada tandingan,” kata Pelinka.

Davis sementara itu berkata dia tidak sabar untuk bergandingan dengan James, selepas pengalaman singkat bermain bersamanya semasa perlawanan All-Star dan Olimpik. – AFP

Rob Pelinka (kiri) menghadiri sidang media bersama Anthony Davis (tengah) dan Frank Vogel di El Segundo, California. – AFP