Day ketuai cabaran Antarabangsa

MELBOURNE, 7 NOV – Ernie Els memilih pemain berpengalaman Jason Day dan Adam Hadwin di samping pemain rookie Im Sung Jae dan Joaquin Niemann ketika beliau menamakan pilihan kapten pasukan Antarabangsa bagi Piala Presiden untuk berdepan Amerika Syarikat diketuai Tiger Woods bulan depan.

Pasukan Antarabangsa akan bersaing di lapangan Royal Melbourne, Australia dari 12 hingga 15 Disember depan menentang pasukan bintang AS diketuai Woods, yang dijangka memilih dirinya sendiri apabila menyenaraikan empat pemain wildcard esok.

Day, bekas pemain nombor satu dunia dari Australia akan tampil kali kelima pada Piala Presiden sekalipun rankingnya merudum ke tangga ke-29, manakala pemain nombor 44 dunia, Hadwin akan melakukan penampilan kedua selepas 2017.

Pemain Rookie Tahunan Terbaik PGA 2019 dari Korea Selatan, Sung Jae dan pemain Chile, Niemann bertindak cemerlang akhir-akhir ini dan kedua-duanya akan tampil kali pertama pada Piala Presiden.

Sung Jae, 21, berkongsi tangga ketiga di samping Rory McIlroy pada Kejuaraan Zozo di Jepun dua minggu lalu yang dimenangi Woods. Pemain nombor 34 dunia itu menyusuli dengan tangga ke-11 pada kejohanan Juara-Juara WGC-HSBC di Shanghai, Ahad lalu.

Niemann, pemain ranking ke-54, muncul pemain pertama dari Chile menang dalam Jelajah PGA apabila dia mengungguli kejohanan di Greenbrier dua bulan lalu. – AFP