Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Daya tarikan zip kayu

    Oleh Amri HTZ

    Seni merupakan aktiviti yang pelbagai dalam menghasilkan produk bersandarkan kepada kreativiti, imaginasi dan bakat untuk mengekspresikan sesebuah idea konseptual.

    Terdapat pelbagai bentuk seni sama ada lukisan, rekaan, kesusasteraan, muzik dan sebagainya.

    Kesemua bentuk seni berkenaan merupakan wadah untuk seseorang menyalurkan emosi, intuisi dan keinginan baik untuk diri sendiri, malahan mengongsinya kepada khalayak ramai.

    Antara barang yang diperlukan

    Projek rekaan kali ini akan mencipta seni daripada kayu terbelah yang menyerupai seperti zip.

    Untuk mengikuti cara-cara pembuatannya, awda perlu menyediakan barangan seperti mesin gergaji gelung (bandsaw), mesin pemotong kayu bulat (circular) dan meja, pahat kayu, pita pengukur, skru, gam kayu, gerudi, pita perekat, sebatang kayu dalam keadaan asli, alat pengikis, papan berukuran 1” x 8”, ketam kayu, kayu berwarna gelap berukuran 1” x ½” (untuk bahagian gigi zip) dan gergaji rantai serta wood finish pilihan.

    Batang pokok yang telah dibelah dua menggunakan mesin bandsaw.
    Kayu 1” x ½” yang telah dipotongkan menjadi bahagian-bahagian kecil akan disusun secara berbalas.
    Bentuk kayu yang diperlukan untuk mereka penutup zip pada projek ini.
    Papan penutup zip yang telah direka ruangan pada bahagian tengahnya bagi membolehkan ia diletakkan di atas gigi zip.
    Kayu gelap berukuran 1” x ½” yang telah dibentuk menjadi ‘L’ untuk menyesuaikannya pada rongga atau ruangan antara dua kayu tersebut.

    Perlu lakukan langkah bersesuaian

    Pada langkah awal pembuatan, awda perlu mendapatkan sebatang kayu yang masih dalam keadaan asli berbentuk bulat dan bengkok.

    Tujuan menggunakan kayu yang tidak berbentuk lurus adalah bagi mendapatkan rekaan sedemikian di mana seolah-olah kayu yang dipasangkan zip dan dalam keadaan terbuka.

    Pilih pohon terbiar yang telah lama tumbang untuk memastikan awda kekal menjaga kelestarian hutan dan mengambil manfaat daripadanya.

    Selain itu, menggunakan kayu yang telah lama terbiar dan kering diperlukan agar rekaan tidak berubah bentuk (mengecut sedikit apabila kelembapan menghilang) setelah beberapa lama.

    Ukur dengan panjang 20” batang kayu tersebut dan tandakan di ukuran dan kawasan potongan sebelum memotongnya menggunakan gergaji rantai.

    Diameter kayu yang diperlukan lebih kurang 13sm. Menggunakan kayu berdiameter lebih besar daripada yang disarankan juga boleh dilakukan namun awda terpaksa menumpukan lebih masa untuk mengerjakan permukaan kayu tersebut.

    Setelah memotong, bersihkan atau tanggalkan kulit kayu menggunakan alat pengikis. Bagi kayu yang mempunyai kulit yang keras dan tidak mudah tanggal ketika kayu dibelah, awda boleh membiarkannya sedemikian demi mengekalkan keasliannya.

    Selesai membersihkan permukaan luar kayu, belah dua kayu tersebut dengan rata menggunakan mesin bandsaw atau hanya menggunakan gergaji rantai.

    Menggunakan mesin bandsaw merupakan langkah yang lebih baik memandangkan potongan yang dihasilkan lebih halus daripada gergaji rantai namun kedua-dua cara mampu menghasilkan apa yang diperlukan.

    Permukaan kayu bahagian dalam yang kasar kemudiannya perlu diratakan menggunakan ketam kayu. Menggunakan mesin ketam kayu tangan akan mempercepatkan proses meratakan permukaan namun melakukannya secara tradisional menggunakan alat ketam manual memberikan awda kawalan sepenuhnya ketika membuang permukaan kayu.

    Langkah seterusnya ialah mengekalkan kedudukan kedua-dua kayu agar kekal dalam keadaan yang sama.

    Caranya ialah dengan menempelkan sekeping papan pada bahagian belakang kedua-dua kayu tersebut.

    Memandangkan permukaan kayu yang dalam bentuk separa bulatan akan menyukarkan awda mencantumkan papan tersebut, reka ruangan khusus dengan menggunakan gergaji dan pahat kayu.

    Tandakan kedudukan potongan (untuk ruangan papan ditempatkan) 2” daripada bahagian bawah kayu diikuti dengan 8” ruangan papan. Kedua-dua kawasan yang telah ditandakan akan dipotongkan separuh menggunakan gergaji. Untuk melepaskan atau membuangkan ruangan tersebut, gunakan pahat kayu dengan menukulnya pada kawasan yang disasarkan.

    Permukaan kasar ruangan yang direka tersebut pada akhirnya juga perlu diratakan menggunakan pahat kayu.

    Apabila selesai melakukannya, gandingkan kedua-dua bahagian kayu tersebut untuk mendapatkan panjang papan diperlukan.

    Untuk memudahkan langkah mengukurnya, letakkan kayu dengan bahagian depan (permukaan dalam kayu) menghadap pada meja kerja. Papan yang telah dipotongkan akan dicantumkan menggunakan gam kayu dan skru pada bahagian belakang kayu tersebut.

    Sementara menunggu gam mengering lebih kurang setengah jam (tertakluk kepada jenis gam digunakan), gunaan masa terluang untuk mereka bahagian lain rekaan.

    Kayu 1” x ½” berwarna gelap yang tersedia akan dipotongkan dengan bentuk ‘L’ bagi mengisikan rongga di antara dua bahagian kayu berkenaan. Ukur rongga tersebut dan potong kayu 1” x ½” berkenaan menggunakan mesin pemotong kayu meja sesuai dengan ukuran diperlukan.

    Kayu yang dibentuk menjadi ‘L’ berkenaan kemudiannya akan dipotongkan menjadi bahagian-bahagian kecil dengan panjang 1” juga menggunakan mesin pemotong kayu.

    Potongan kayu yang akan dijadikan gigi zip tersebut kemudiannya akan dicantumkan dengan keadaan berbalas dan pada bahagian bawah di mana kayu berbentuk lurus akan dicantumkan dalam kedudukan rapat.

    Gunakan gam kayu dan stapler bagi memastikan rekaan lebih nampak kemas.

    Sementara untuk bahagian kayu yang bengkok, awda perlu memberikan jarak 1” daripada setiap satu kayu gigi zip. Ini bagi meniru keadaan sebenar zip yang terbuka.

    Gigi zip tanpa penutup (zipper heads) tidak akan sempurna jika tidak memilikinya. Untuk itu awda perlu merekanya menggunakan papan dengan ukuran 3” x 3 1/2”.

    Bahagian belakang papan akan direka dengan ruangan untuk membolehkannya diletakkan di atas gigi zip. Oleh itu awda perlu mereka ruangan dengan kedalaman ½” dan 2” lebar bagi membolehkannya ditempatkan.

    Selain itu pemegang penutup zip juga akan direka sekali gus memerlukan awda merekanya menggunakan lebihan papan dengan bentuk yang diperlukan seperti gambar yang disertakan.

    Memotongkan bentuk luaran kayu menggunakan mesin bandsaw akan mempercepatkan proses sementara pada bahagian dalam mesin jig merupakan alat yang sesuai.

    Sama seperti langkah sebelumnya, untuk menetapkan kedudukan penutup zip, awda perlu menyapukannya menggunakan gam kayu dan di sokong dengan stapler. Pastikan awda menetapkan kedudukannya pada bahagian hujung zip yang terbuka bagi mendapatkan visual seperti zip sebenar.

    Langkah terakhir ialah menyapukan keseluruhan permukaan kayu dengan wood finish pilihan dan mereka ‘kaki’ untuk membolehkannya dipamerkan dalam keadaan berdiri.

    Dengan langkah terakhir tersebut, rekaan yang telah siap kini hanya perlu diletakkan pada ruangan bersesuaian, yang boleh disaksikan oleh para pengunjung yang bertandang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...